Melbourne: Hasrat sebuah keluarga menyediakan kostum Mary Poppins untuk anak perempuan mereka bertukar lucu apabila pesanan dalam talian yang diterima sebaliknya ialah kostum pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un.
Wanita berkenaan memesan pakaian klasik Mary Poppins untuk anak perempuannya yang berusia 10 tahun sempena acara persekolahan di Melbourne.
Keluarga itu mengharapkan gaun gaya zaman Victoria yang anggun, lengkap dengan topi dan payung ikonik watak berkenaan, bagaimanapun mereka menerima baju hitam bergaya ketenteraan bersama seluar sepadan, menyerupai pakaian yang menjadi ciri khas Kim Jong Un, lapor New York Post.
Kesilapan penghantaran itu mengecewakan keluarga berkenaan, apatah lagi kanak-kanak terbabit hanya mempunyai beberapa hari sebelum acara persekolahan berkenaan.
Butiran kejadian dikongsi di Instagram oleh pengacara TV dan radio Australia, Jacqueline Felgate, yang turut meminta bantuan orang ramai untuk mendapatkan kostum Mary Poppins untuk kanak-kanak berkenaan.
“Sebuah syarikat kostum menghantar kostum Kim Jong Un kepada sebuah keluarga di Melbourne bukannya pakaian Mary Poppins yang dipesan,” tulis Felgate menerusi kapsyen hantaran itu.
Kesilapan penghantaran dan pertukaran label gudang mungkin berlaku dalam pembelian dalam talian, namun kejadian itu mencetuskan pelbagai reaksi dalam talian apabila kostum pemimpin Korea Utara dihantar bagi menggantikan watak Disney berkenaan.
Keluarga itu kemudian menghubungi khidmat pelanggan untuk melaporkan kesilapan berkenaan, menuntut ganti rugi dan mendapatkan pakaian yang betul.
Hantaran itu turut mencetuskan pelbagai reaksi lucu daripada pengguna media sosial, termasuk cadangan supaya kanak-kanak berkenaan hadir ke sekolah dengan memakai kostum Kim Jong Un.
Nikki, Ketua Pegawai Eksekutif CostumeBox.com.au, tampil di ruangan komen dan menjelaskan bahawa kejadian itu berpunca daripada “kesilapan manusia yang mudah tetapi dikesali” di gudang selepas dua label alamat terpadam secara tidak sengaja.
Menurutnya, pelanggan berkenaan menghubungi syarikat pada jam 6 pagi dan pihaknya membalas pada jam 9.05 pagi sebelum kostum Mary Poppins baharu dipilih serta dibungkus pada jam 9.35 pagi untuk dihantar menerusi Australia Post Express Post.
Katanya, jika semuanya berjalan mengikut rancangan, kostum itu dijangka tiba keesokannya, tepat pada waktunya untuk perarakan Minggu Buku pada Jumaat.
Sementara itu, pelanggan yang sepatutnya menerima kostum Kim Jong Un diminta mengambil bungkusan di pejabat pos bagi mengesahkan sama ada dia sebenarnya menerima kostum Mary Poppins dan syarikat itu juga bersedia menghantar topeng Kim Jong Un baharu jika diperlukan.
© New Straits Times Press (M) Bhd
