Lelaki bunuh isteri, dua anak kerana berang terjerat ‘love scam’ 


PETALING JAYA: Berang selepas isterinya dipercayai terjebak dalam sindiket penipuan cinta sehingga menyebabkan kerugian dan hutang mencecah RM260,000 dipercayai menjadi punca seorang lelaki bertindak membunuh wanita itu bersama dua anak di sebuah kondominium di Desa Parkcity, Persiaran Residen Kepong, semalam.

Suspek berusia 48 tahun kemudian ditemukan terjatuh dari unit kediaman itu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, siasatan awal mendapati suspek dipercayai meninggalkan sekeping nota di atas meja makan dan menyatakan rasa kesal terhadap isterinya yang didakwa masih cuba menghubungi individu dipercayai ‘scammer’ berkenaan.

“Suspek dipercayai berasa perbuatan isterinya itu sudah melampaui batas selain berasa malu terhadap anak-anak mereka.

“Dia juga dipercayai menanggung kerugian serta hutang berjumlah kira-kira RM260,000 akibat perkara berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Katanya, polis turut menemukan sebilah pisau dan sepasang sarung tangan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan pembunuhan berkenaan.

“Kesemua barangan itu ditemukan di dalam sebuah laci di bilik tidur utama dan dipercayai digunakan sebagai senjata dalam kejadian tersebut,” jelasnya.

Fadil berkata, polis masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti motif sebenar kejadian serta melengkapkan siasatan berhubung tragedi berkenaan.

“Setakat ini, bedah siasat terhadap mayat anak perempuan berusia sembilan tahun selesai dijalankan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) kira-kira pukul 12 tengah hari tadi. Hasil bedah siasat menemukan satu tikaman sepanjang kira-kira lima sentimeter pada bahagian leher mangsa,” ujarnya.

Tambahnya, bedah siasat kedua akan dijalankan terhadap mayat isteri dan dijangka tiga bedah siasat akan dijalankan hari ini, manakala mayat suspek dijangka dilakukan esok selepas pasukan forensik HKL ke tempat kejadian pada pagi esok.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan empat sekeluarga maut termasuk tiga individu disyaki dibunuh dalam satu kejadian di sebuah kondominium di Desa Parkcity.

Sebelum itu, polis menerima satu laporan berhubung seorang lelaki berusia 48 tahun terjatuh dari sebuah kediaman di kondominium itu yang dipercayai berlaku kira-kira pukul 3.32 petang.

Menurut Fadil, polis kemudian ke lokasi rumah mangsa dan membuka pintu unit berkenaan dengan bantuan bomba serta menemukan tiga individu meninggal dunia di bilik berasingan.

Katanya, mangsa pertama merupakan wanita berumur 47 tahun dan yang juga isteri lelaki terbabit dan dua kanak-kanak perempuan serta lelaki masing-masing berumur 9 dan 7 tahun iaitu anak kepada pasangan tersebut.

“Ketiga-tiga mangsa didapati mengalami kecederaan parah pada bahagian leher,” katanya dalam kenyataan. –UTUSAN



Source link

OR

Scroll to Top