KUALA LUMPUR: Himpunan 14 juadah tradisional mewakili setiap negeri di Malaysia menjadi tarikan utama penganjuran acara ‘CirKLe Makan-Makan Merdeka 2026’ dalam mengetengahkan identiti kebangsaan menerusi sektor kulinari.
Acara komuniti tiga hari yang beroperasi dari jam 11 pagi hingga 12 tengah malam di The Campus, Ampang itu bertujuan menyemarakkan sambutan bulan kemerdekaan dengan menghimpunkan kepelbagaian makanan, penggiat kraf artisan serta persembahan kebudayaan.
Pengasas Bersama CirKLe, Jaja Anuar berkata, kepelbagaian makanan tempatan merupakan antara medium paling asas yang mencerminkan keharmonian dan identiti rakyat Malaysia yang dibentuk merentas generasi.
“Bila kita mula merancang untuk penganjuran edisi Merdeka ini, ia bermula daripada persoalan ringkas mengenai erti kemerdekaan kepada kita sebagai rakyat Malaysia. Identiti negara sebenarnya terbina melalui perkara paling mudah di sekeliling kita, terutamanya makanan dan warisan budaya.
“Sebab itu penganjuran kali ini tidak rumit, sebaliknya menumpukan kepada usaha menghimpunkan orang ramai, berkongsi makanan dan menghargai perkara-perkara kecil yang mendefinisikan kita sebagai rakyat Malaysia,” katanya ketika ditemui di sini.
Bagi menyokong perhimpunan kulinari tersebut, penganjuran edisi ketiga yang juga merupakan acara terbesar CirKLe itu turut melibatkan 40 jenama tempatan serta tujuh penggiat kraf artisan dari pelbagai negeri termasuk Kelantan dan Perak.
Kawasan penganjuran dibahagikan kepada dua ruang utama bagi menempatkan sajian kulinari serta jenama gaya hidup tempatan yang merangkumi keseluruhan hampir 70 reruai.
Menurutnya, pelbagai pengisian interaktif turut disusun sepanjang tiga hari penganjuran merangkumi bengkel seni dan kraf, persembahan kebudayaan tradisional serta demonstrasi memasak secara langsung.
“Kami menyasarkan kehadiran sehingga 80,000 pengunjung sepanjang tiga hari acara berlangsung, sekali gus mengulangi pencapaian rekod kehadiran pada edisi sambutan Raya sebelum ini,” katanya.
Melihat kepada maklum balas positif daripada usahawan dan peserta terlibat, pihak pengurusan CirKLe turut merancang untuk memperluaskan lokasi penganjuran acara komuniti berkenaan ke beberapa destinasi baharu pada masa hadapan. –UTUSAN
