opie@mediaprima.com.my
SELEPAS kali terakhir mengadakan persembahan di Pulau Pinang pada 2023, Ella kembali menggegarkan negeri kelahirannya menerusi Majlis Tertinggi Rockqueen Ella: Homecoming – Edisi Permata Biru.
Dianjurkan Hitman Solutions dan Rockqueen, konsert istimewa yang berlangsung di Setia SPICE Convention Arena, Bayan Lepas, Pulau Pinang, baru-baru ini menjadi malam nostalgia dipenuhi emosi.
Ia bukan sahaja meraikan kepulangan Ella, malah turut menjadi sambutan ulang tahun ke-60 Ratu Rock Negara itu yang cukup bermakna bersama peminat setia ikuti perjalanan seninya.
Ia bukan sahaja meraikan kepulangan Ella, malah turut menjadi sambutan ulang tahun ke-60 Ratu Rock Negara itu yang cukup bermakna bersama peminat setia yang mengikuti perjalanan seninya. Bagi Ella, Pulau Pinang bukan sekadar salah satu lokasi konsertnya, sebaliknya tempat kelahiran yang menjadi sebahagian daripada kisah penting perjalanan panjangnya sebagai anak seni.
Peminat bukan hanya dari Pulau Pinang dan negeri di utara tanah air serta negeri lain, malah juga dari Sumatera, Indonesia.
“Pulau Pinang sentiasa mempunyai tempat sangat istimewa di hati saya kerana di sinilah saya dilahirkan. Jadi apabila kita namakan konsert ini ‘Homecoming’, ia benar-benar membawa maksud pulang ke tempat permulaan.
“Lebih istimewa, saya dapat meraikan hari jadi bersama mereka yang dekat serta orang-orang yang saya sayangi. Melihat arena penuh malam ini, ia adalah hadiah yang sangat bermakna,” katanya.
Apabila persembahan bermula, Ella membawa penonton menyusuri perjalanan muziknya menerusi rangkaian lagu popular seperti Rama-Rama, Kesal, Bayangan serta medley Cinta Selembut Sutera dan Retak, diikuti Tiada Tangis Lagi, Kasih serta Pedih.
Setiap lagu disambut dengan nyanyian bersama, memperlihatkan karya Ella kekal dekat dengan peminat pelbagai generasi.
Sementara kemunculan Datuk Ramli Sarip mendapat sorakan gemuruh sekali gus menggandingkan dua figura penting dalam sejarah muzik rock Malaysia di atas satu pentas.
Ramli Sarip tampil dengan membawakan lagu Istilah Bercinta dan Teratai, sebelum terus rock n roll bersama Ella menerusi Kembara Kita.
Pertemuan dua legenda itu mencipta satu momen indah apabila seluruh arena menyambut kolaborasi berkenaan dengan penuh semangat.
Turut memeriahkan pentas ialah Datuk Ziana Zain menerusi lagu Madah Berhelah, sebelum bergandingan bersama Ella menerusi medley Senja Nan Merah dan Nuri.
Gabungan dua figura wanita yang mempunyai identiti serta kekuatan vokal tersendiri itu memberikan detik istimewa kepada penonton.
Dalam berhibur, Majlis Tertinggi Rockqueen Ella: Homecoming turut meneruskan kempen “Peace.Love.Rindu” yang membawa mesej bahawa muzik bukan sahaja mampu menyatukan manusia, tetapi menjadi platform untuk memberi kembali kepada masyarakat.
Menerusi inisiatif itu, RM2 daripada setiap tiket yang terjual disalurkan kepada salah satu daripada tiga organisasi kebajikan berdasarkan pilihan pembeli tiket.
Inisiatif ini meneruskan nilai utama dibawa melalui Majlis Tertinggi Rockqueen dengan menyatukan peminat melalui muzik sambil membawa impak positif kepada komuniti.
Dengan berakhirnya Majlis Tertinggi Rockqueen Ella: Homecoming – Edisi Permata Biru, Pulau Pinang bukan sekadar menjadi lokasi persinggahan sebuah konsert.
Ia menjadi saksi kepada kepulangan seorang anak kelahiran negeri itu, diraikan dalam sebuah malam yang dipenuhi muzik, persahabatan, penghargaan dan cinta.
© New Straits Times Press (M) Bhd
