MSN nafi abaikan perancangan Azizulhasni ke LA28


MAJLIS Sukan Negara (MSN) menafikan dakwaan kononnya badan itu tidak menghiraukan perancangan Datuk Azizulhasni Awang atau gagal menghargai jasa dan sumbangan jaguh berbasikal trek negara berkenaan.

Sebaliknya, MSN menegaskan sokongan terhadap The Pocket Rocketman kekal teguh, termasuk komitmen untuk membantu merealisasikan hasratnya meneruskan karier sehingga Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).

Menurut MSN, semua perkara yang dibangkitkan Azizulhasni ketika pertemuan pada 13 Ogos lalu telah dipersetujui, termasuk tambahan khidmat sokongan sains sukan dan perubatan, penggunaan fasiliti MSN serta Institut Sukan Negara (ISN), selain pelaksanaan latihan secara hibrid antara Kuala Lumpur dan Melbourne, Australia.

“MSN dalam pertemuan itu menyatakan persetujuan terhadap semua permohonan itu, termasuk beberapa lagi permintaan tambahan.

“Paling utama, pertemuan itu memperteguhkan lagi sokongan kepada Azizulhasni dan cadangan pemberian geran kepadanya akan diteruskan seperti amalan sebelumnya,” menurut kenyataan MSN pada Sabtu.

Badan itu turut memaklumkan persetujuan menanggung penyertaan Azizulhasni dalam kejohanan utama seperti Kejohanan Berbasikal Asia dan Kejohanan Berbasikal Dunia secara berpasukan.

Malah, Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari yang juga Pengerusi Lembaga Pengurusan MSN, membawa perkara berkaitan keperluan serta perancangan sokongan berkenaan ke mesyuarat lembaga pada 13 Ogos lalu dan mendapat persetujuan ahli lembaga.

MSN berkata, perbincangan mengenai laluan kelayakan Olimpik 2028 turut diadakan bersama Persekutuan Berbasikal Malaysia (PKBM) pada 7 Julai lalu menerusi perbincangan Olympic Pathway, termasuk keperluan Azizulhasni mengumpul mata kelayakan.

“MSN turut terkejut dengan kenyataan jurulatih Azizulhasni, John Beasley, yang mendakwa tiada perbincangan mengenai perancangan masa depan pelumba itu,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, MSN memaklumkan pihaknya menghantar emel kepada Azizulhasni pada 27 Ogos lalu bagi memuktamadkan perbincangan, termasuk meminta pelan lengkap program sehingga LA28 serta anggaran perbelanjaan.

Pelan berkenaan diperlukan untuk memperincikan jadual latihan dan pertandingan, sasaran prestasi, laluan kelayakan, pembahagian latihan antara Kuala Lumpur dan Melbourne, keperluan jurulatih serta pasukan sokongan, khidmat sains sukan dan perubatan, fasiliti, peralatan, logistik serta peruntukan tahunan.

MSN turut menjelaskan Azizulhasni sendiri bersetuju supaya pengumuman mengenai program latihannya ke LA28 dibuat secara bersama selepas Kejohanan Berbasikal Dunia di Shanghai, China, pada 14 hingga 18 Oktober depan.

“MSN menghormati permintaan itu, terutama demi memastikan fokus dan persiapan Azizulhasni tidak terjejas sebelum temasya Sukan Asia 2026 di Aichi-Nagoya bulan depan,” menurut kenyataan itu.

Azizulhasni pada Jumaat menerusi penjelasan sembilan muka surat yang dikongsikan di media sosial mendakwa terdapat kelewatan dalam mendapatkan keputusan konkrit berkaitan sokongan terhadap misinya ke LA28.

Beliau bagaimanapun menegaskan pendedahan dibuat berdasarkan fakta dan bukan auta, selain menafikan mempunyai niat lain kecuali mahu melihat kemajuan sukan negara serta kebajikan atlet lebih terjamin pada masa depan.



Source link

OR

Scroll to Top