LEGENDA trek negara, Datuk Azizulhasni Awang tampil menjelaskan pendiriannya berhubung hala tuju karier serta peranannya dalam usaha Malaysia memburu tiket ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28) menerusi penjelasan terperinci setebal sembilan muka surat.
Jaguh berbasikal trek negara itu berkata, penjelasan yang dikongsikan menerusi media sosial dibuat berasaskan fakta dengan matlamat utama mahu melihat pembangunan sukan negara terus diperkasa selain memastikan kebajikan atlet diberi perhatian sewajarnya.
Menurut pemenang pingat perak Olimpik Tokyo 2020 itu, persoalan utama yang perlu diperjelaskan bukan berkaitan keputusannya untuk terus beraksi atau sebaliknya, tetapi sama ada khidmatnya masih diperlukan dalam perancangan Malaysia ke LA28.
Azizulhasni menegaskan kepastian daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Majlis Sukan Negara (MSN) penting bagi membolehkannya menyusun perancangan membabitkan aspek latihan, penyertaan pertandingan, penajaan dan komitmen keluarga.
Beliau turut menjelaskan cabaran untuk layak ke LA28 bukan mudah kerana kempen kelayakan mengambil masa dua musim, dengan atlet perlu mengumpul mata menerusi kejohanan antarabangsa utama.
Namun, berdasarkan tahap prestasi semasa, beliau percaya masih mampu bersaing di pentas tertinggi dunia.
Dalam pada itu, Azizulhasni menegaskan aspek kewangan bukan perkara utama yang diperjuangkannya, sebaliknya sistem sokongan menyeluruh yang dapat membantu persiapan, latihan dan proses pemulihan berada pada tahap optimum.
Malah, beliau bersedia mendapatkan sokongan pihak swasta serta bergerak secara profesional jika diperlukan, selain mencadangkan peruntukan yang tidak digunakan untuk dirinya boleh dimanfaatkan bagi pembangunan pelumba muda negara.
Selain itu, beliau mencadangkan supaya diwujudkan garis panduan jelas berkaitan hak atlet terhadap mata kelayakan yang dikumpul agar usaha seseorang atlet tidak terhenti tanpa penghargaan atau perancangan jangka panjang.
Azizulhasni turut menyentuh mengenai pengurusan sukan berprestasi tinggi termasuk beberapa isu terdahulu dalam skuad berbasikal negara, dengan harapan segala pengalaman lalu dapat menjadi asas penambahbaikan sistem sukan negara.
Bagi atlet yang digelar The Pocket Rocketman itu, kejayaan ke LA28 memerlukan perancangan menyeluruh yang mengambil kira pelbagai faktor termasuk sokongan pasukan, keluarga, penaja, latihan serta pemulihan.
Penjelasan tersebut dianggap sebagai usaha Azizulhasni mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai kedudukannya dalam misi LA28, selain membuka ruang kepada KBS dan MSN memberikan hala tuju yang lebih terancang.
