London: Xabi Alonso mengesahkan Levi Colwill dan Geovany Quenda dijangka boleh disenaraikan untuk aksi menentang Brighton esok malam.
Sementara itu, keadaan Moises Caicedo akan dipantau rapat sebelum keputusan akhir dibuat mengenai penglibatannya dalam pertembungan di Stamford Bridge.
Chelsea mahu meneruskan momentum dalam usaha memburu kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) pertama mereka dalam tempoh sembilan tahun selepas membuka kempen dengan kemenangan 3-2 ke atas Fulham pada Isnin.
Bercakap selepas kemenangan 2-0 ke atas Luton Town dalam aksi Piala Liga pada Khamis, Alonso mengesahkan beberapa pemain skuad utama dijangka cergas untuk pertembungan dalam saingan liga utama England hujung minggu ini.
Ditanya mengenai kecergasan Colwill dan Quenda, pengendali dari Sepanyol itu berkata: “Tiada masalah.
“Perancangan kami ialah mereka berlatih esok sebagai persiapan untuk Ahad.
“Bagi Levi, kami tahu tiga perlawanan dalam seminggu selepas kecederaan dan berehat untuk satu tempoh. Dia perlu melalui proses yang betul dan kami tidak mahu memaksanya terlalu banyak. Jadi, dia berasa selesa.”
Colwill tidak beraksi sepanjang musim lalu akibat kecederaan ligamen anterior krusiat (ACL), dengan Alonso dilihat menguruskan beban tugas pemain pertahanan tengah itu ketika dia kembali menyesuaikan diri dengan aksi kompetitif.
Quenda juga sedang pulih daripada kecederaan ringan yang menyebabkan dia diketepikan sehingga kini.
Mengenai Caicedo yang diketepikan selepas mengalami kecederaan ringan ketika latihan, Alonso menambah: “Dia diharapkan dapat berlatih esok dan kami berharap dia boleh terbabit.
“Kami masih membuat pemeriksaan dan belum membuat keputusan.”
Chelsea akan menentang Brighton and Hove Albion esok.
© New Straits Times Press (M) Bhd
