PUTRAJAYA: Lebih 80,000 orang dijangka membanjiri Dataran Putrajaya bagi menyaksikan perarakan Sambutan Hari Kebangsaan ke-69 pada Isnin ini.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, jumlah kehadiran itu dijangka sama atau melebihi jumlah yang direkodkan pada tahun lalu dan tahun sebelumnya.
Menurut beliau, kemudahan pengangkutan awam yang disediakan sepanjang sambutan kali ini dijangka memudahkan lebih ramai orang untuk hadir.
“Pihak Prasarana menyediakan kemudahan pengangkutan MRT selama 24 jam, jadi lebih ramai yang ingin datang kerana lebih mudah untuk hadir,” katanya dalam sidang akhbar selepas raptai penuh Sambutan Hari Kebangsaan di sini, hari ini.
Beliau berkata, perkhidmatan bas turut disediakan dari stesen MRT ke tapak sambutan selain kemudahan pengangkutan air atau teksi air.
Katanya, sambutan kali ini juga berpotensi menarik lebih ramai pengunjung berikutan ia berlangsung ketika cuti sekolah.
Fahmi berkata, pihaknya turut dimaklumkan hotel dan tempat penginapan di sekitar Putrajaya sudah penuh menjelang sambutan tersebut.
Dalam pada itu, Fahmi menasihatkan ibu bapa yang membawa anak-anak kecil serta individu mempunyai masalah asma dan pernafasan supaya memakai pelitup muka, terutama jenis N95, susulan keadaan jerebu ketika ini.
Menurutnya, pihak Kementerian Kesihatan (KKM) turut menasihatkan golongan berisiko supaya mengambil langkah berkenaan sejak masalah jerebu mula berlaku.
“Kita telah sediakan pelitup muka untuk lebih 10,000 peserta dan setiap seorang diberikan dua pasang sekiranya mereka merasakan perlu memakai, mereka boleh memakainya,” katanya.
Menurut beliau, pemakaian pelitup muka tidak diwajibkan dan terpulang kepada individu mengikut keperluan masing-masing. – UTUSAN
