DUNIA permotoran negara diselubungi berita duka apabila pelumba CP150, Farres Putra Mohd Fadhil meninggal dunia selepas terbabit dalam kemalangan ketika perlumbaan akhir pusingan kelima Kejuaraan MAM Cub Prix 2026 di Litar Permotoran Gong Badak, Terengganu, petang Sabtu.
Pelumba berusia 18 tahun daripada CKJ Racing itu mengalami kemalangan di Selekoh 3 pada pusingan pembukaan perlumbaan sebelum menerima rawatan kecemasan di litar.
Bagaimanapun, Farres kemudian dikejarkan ke Hospital Nur Zahirah, Kuala Terengganu sebelum disahkan meninggal dunia meskipun pasukan perubatan berusaha memberikan rawatan terbaik.
Berita pemergian Farres turut dimaklumkan CKJ Racing menerusi kenyataan di media sosial yang menyifatkan Allahyarham bukan sekadar seorang pelumba, malah sahabat dan sebahagian daripada keluarga pasukan.
“Dengan hati yang amat berat, kami ingin memaklumkan Allahyarham Farres Putra Mohd Fadhil telah pergi meninggalkan kita hari ini.
“Hari ini, kami bukan sekadar kehilangan seorang pelumba, tetapi seorang sahabat dan sebahagian daripada keluarga pasukan kami,” menurut kenyataan itu.
CKJ Racing turut merakamkan penghargaan atas segala perjuangan, semangat dan kenangan yang ditinggalkan Farres sepanjang bersama pasukan berkenaan.
“Namamu akan terus terpahat dalam perjalanan pasukan ini. Salam takziah buat seluruh keluarga Allahyarham dan semoga mereka tabah menghadapi kehilangan ini,” katanya.
Pasukan itu turut mendoakan agar ALLAH SWT mengampuni segala khilaf Allahyarham, merahmati rohnya serta menempatkannya dalam kalangan hamba-Nya yang beriman.
“Selamat jalan dan kami akan merindui anda, Farres. Al-Fatihah,” menurut kenyataan itu.
