Kata Atuk, cinta ini mahal harganya. Tiada nilai berbanding emas dan permata. Cinta yang dipupuk dengan kesetiaan dan kasih sayang. Maka cinta ini perlu ada pewarisnya. Tidak boleh dibiarkan lenyap dan hilang begitu sahaja. Atuk mahu aku menjadi pewarisnya. Mewarisi perjuangan dan kesungguhan Atuk menghargai perjalanan usia yang kian hampir ke titiknya.
Di usia yang kian lanjut, tiada apa yang mampu Atuk lakukan melainkan melunaki kisah-kisah silam yang masih bersarang di lubuk ingatan tuanya. Setiap kali Atuk membuka mulut, hanya cinta itulah yang selalu Atuk ulangi dan ulangi dalam lafaz kisah yang penuh syahdu.
“Mel, cintailah tanah air ini dengan sepenuh hati. Hanya cinta yang tulen sahaja akan mempertahankan tanah ibunda daripada penjajahan kedua.”
Aku diam menatap wajah Atuk yang berkedut seribu. Lelaki di usia lapan puluhan itu sudah kuanggap seperti bapa kandung sendiri.
Seperti selalu, Atuk mengisi masa senggangku dengan naratif silam tentang sebuah tanah air yang pernah mengecap manis kemerdekaan sesudah berkurun diikat oleh belenggu penjajahan kolonial..
“Ketika kibaran Union Jack diturunkan di Padang Merdeka dahulu, Atuklah yang ditugaskan untuk menurunkan bendera Kolonial British itu sebelum bendera negara dinaikkan. Bangganya hati Atuk apabila ribuan manusia meneriakkan perkataan merdeka dan merdeka berulang kali.”
Lama Atuk terdiam mengingati kisah silam sebelum kembali bersuara.
“Itulah tarikh yang paling mahal harganya. Nilai sebuah kebebasan selepas perjuangan perwira negara untuk menikmati sebuah kemakmuran yang abadi.Kemerdekaan bukan sekadar kata-kata tetapi perjuangan luhur nenek moyang sejak sekian lama.”
Dalam ingatan Atuk sebagai pejuang yang menggunakan mata pena dan tinta, tulisan menjadi alat membangkitkan semangat cintakan watan, Atuk menyedarkan setiap rakyat dengan tulisan dan persuratan tentang pentingnya semangat patriotisme membebaskan tanah air. Atuk bermula sebagai wartawan akhbar yang menulis banyak karya yang bertemakan perjuangan.
Beberapa kali Atuk pernah ditahan di bawah akta Hasutan kerana dituduh mengapi-apikan sentimen kebencian terhadap British. Penjara menjadi tempat terakhir Atuk ketika tulisan dan karya Atuk mula menjadi tumpuan rakyat jelata.
“Kerana itulah harga merdeka itu mahal nilainya. Ramai pejuang negara seperti Atuk dahulu bukan setakat dipenjara tetapi ada yang dibunuh dengan kejam.”
Atuk pegang tanganku dengan penuh keintiman kasih sayang. Kulihat mata Atuk basah saat kenangan demi kenangan mula bermain di lubuk ingatannya.
“Kemerdekaan jangan dijual kembali. Jika tergadai tanah air ini maka kita akan kembali kepada kancah penjajahan silam.”
Suara Atuk sebak dan perlahan. Atuk pandang tunak mataku dengan perasaan yang luar biasa.
“Mel, selepas ibu dan ayah kamu bercerai kerana tiada sefahaman dahulu. Atuk memilih untuk memelihara kamu dan memberi kamu pelajaran. Atuklah yang menghantar kamu ke sekolah hinggalah kini kamu sudah pun berada di pusat pengajian tinggi. Atuk bangga dengan kamu.
“Saya juga bangga dengan Atuk. Tanpa Atuk siapalah saya pada hari ini. Pengorbanan Atuk tidak mampu saya balas.”
Tiada balasan yang Atuk minta daripadaku melainkan ingin melihat aku belajar hingga ke menara akademik tertinggi. Selebihnya atuk mahu aku menghargai nilai kemerdekaan tanah air ini sesudah berdekad bumi ini menghirup anugerah kemakmuran dan kesejahteraan yang hakiki. Enam puluh sembilan tahun usia kebahagian ini dinikmati. Enam puluh sembilan tahun jugalah tarikh keramat itu menjadi sejarah yang terpahat di tugu memori.
Waktu perlahan-lahan beredar di pusingan musim. Julai sudah mulai meninggalkan fajar purnama. Ogos mulai muncul di ufuk waktu. Ogos yang penuh sejarah dan rakaman kisah. Rumah pusaka Atuk mulai dihiasi dengan kibaran bendera negara di setiap penjuru.
Dari ruangan beranda hingga ke hujung tangga, Atuklah yang pasangkan dengan kudrat yang bersisa. Nun, pada cerucuk pagar besi, Atuklah juga yang bertungkus lumus memastikan setiap bendera tersangkut dan berkibar megah.
“Ogos bulan yang bersejarah. Atuk terkenangkan saat turunnya bendera Union Jack sebelum digantikan dengan bendera tanah air. Itu sejarah yang paling berharga.”
Cuti yang berbaki, aku mengambil peluang membantu Atuk menghiasi rumah dengan aneka bendera yang kutempah dari Kuala Lumpur. Bangganya Atuk saat bendera berkibar megah ditiup angin. Lebih bangga lagi saat melihatku menulis kata-kata patriotik di
beberapa helaian kain untuk direntangkan di halaman.
“Hari itu Padang Kelab Selangor dibanjiri manusia pelbagai bangsa. Semuanya ingin menyaksikan detik paling mahal dalam sejarah tanah air. Tepat jam 12 tengah malam, lampu tiba-tiba dipadamkan sebelum dinyalakan kembali. Atuk tidak pernah lupa apabila pemimpin negara melaungkan kalimah merdeka sebanyak tujuh kali. Saat itulah jari jemari Atuk menurunkan kibaran bendera Union Jack untuk digantikan dengan panji negara.”
Ogos sudah mula meniti hari dari awal menuju pertengahan. Kerana cuti semesterku masih berbaki, aku mahu terus berada bersama Atuk sambil mengenangi kisah silam.
Kata Atuk, sebuah tanah air yang bebas dan merdeka seumpama seekor burung yang baharu dilepaskan dari sangkar. Maka terbanglah haiwan bersayap itu mendepakan kepaknya hingga ke angkasa raya dengan penuh keriangan.
“Jangan biarkan burung yang bebas itu kembali semula ke sangkar untuk dikurung semula. Kemerdekaan adalah mutlak dan penjajahan tidak akan berulang lagi.”
Aku terpana seketika tatkala Atuk membina perumpamaan yang kreatif dan berfalsafah tinggi.
“Saya juga akan menulis seperti Atuk suatu waktu dahulu. Atuk penulis dan wartawan berwibawa yang pernah menggerunkan penjajah dengan dakwat dan tinta. Tulisan Atuk menjadi nadi kepada perjuangan bangsa.”
Aku melafaz ikrar di hadapan Atuk.
“Atuk mahu kamu mewarisi cinta ini. Cinta suci terhadap tanah air ini, Mel. Bacalah sejarah silam kerana dengan membaca sahajalah kamu dapat memahami erti pengorbanan nenek moyang terdahulu.”
Dari pertengahan Ogos menuju ke penghujung bulan. Suasana kemerdekaan makin jelas terasa apabila seluruh kampung berkerlipkan aneka cahaya lampu di sepanjang jalan. Sepanjang jalan mulai berkibaran bendera tanah air yang tersusun di sepanjang laluan utama.
Atuk gembira apabila aku membawanya mengelilingi kampung menaiki kereta untuk menyaksikan sendiri suasana ambang merdeka yang bakal tiba.
Sebuah gapura agam mulai didirikan di hujung kampung dengan hiasan tulisan-tulisan keramat yang bernada patriotik. Ada lagu-lagu berirama tanah air mula bergema di mana-mana sahaja. Atuk gembira menyaksikan suasana yang indah gemilang.
Namun, ada sesuatu yang ingin sampaikan kepadaku. Sesuatu yang cuma berbisik kecil di lubuk lelaki berusia itu. Di rumah, barulah Atuk meluahkan apa yang terbuku di hati kecilnya.
“Atuk takut hiburan dan keraian itu sekadar di mata sahaja. Rasa kemerdekaan itu mesti dipupuk di hati nurani. Kesetiaan dan kepatuhan terhadap tanah air biar bertunjang di lubuk kalbu. Apabila cinta sejati sudah tertusuk dalam sanubari maka cinta merdeka akan membenih menjadi pohon setia yang subur.”
Beberapa hari sebelum sambutan merdeka, kesihatan Atuk mulai merosot teruk. Batuk dan lelah yang dideritainya sekian lama membuatkan lelaki itu tidak mampu menjamah makanan.
“Atuk kena kuat kerana sambutan merdeka hanya beberapa hari lagi.”
Aku kuatkan hati Atuk agar bertahan. Namun, keadaan Atuk makin tidak stabil. Nafas Atuk turun naik hingga memaksa aku dan beberapa orang sanak saudara menghantar Atuk ke hospital.
“Atuk mahu kamu mewarisi cinta merdeka ini.”
“Bagaimana Atuk?”
“Hargai kemakmuran tanah air dengan mencurahkan bakti dan taat setia tanpa berbelah bagi. Jadilah bangsa yang gigih mempertahankan kemerdekaan dengan mematuhi prinsip rukun negara.”
Sehari selepas ungkapan kata-kata keramat itu Atuk menghembuskan nafas terakhir. Atuk pergi selepas mewasiatkan cinta merdeka buat satu-satunya cucu kesayangannya.
Aku terkedu bagai tidak percaya. Lelaki yang banyak berjasa itu telah dijemput pulang ke negeri abadi.
Sesudah ketiadaan Atuk, aku berusaha menelaah setiap ungkap kalimah Atuk tentang makna cinta merdeka. Aku berusaha menggali falsafah dan takrifan sebuah cinta sejati terhadap tanah air. Atuk telah meningalkan aku persoalan demi persoalan tentang bagaimana meneruskan legasi cinta suci demi pertiwi.
Tiga puluh satu Ogos akan muncul saat fajar pagi mulai melimpahkan cahaya di ufuk waktu. Aku menunggu dengan sabar. Menunggu detik bersejarah itu dalam rangkap-rangkap doa buat seorang lelaki yang sangat berbakti kepadaku sejak sekian lama. Dia bukan sahaja mewarisiku sebuah rumah pusaka dan sebidang tanah kecil, akan tetapi serangkap persoalan yang masih tertancap dalam fikiranku.
Aku terkenangkan bagaimana Atuk masih berdiri dengan pakaian segak seperti pahlawan Melayu di atas pentas utama sambil menurunkan bendera Union Jack untuk digantikan dengan panji negara puluhan tahun dahulu. Aku bangga kerana lelaki itulah yang mengajarku dengan tinta dan kata untukku mengenal kalimah dan ayat keramat.
“Semoga amal bakti Atuk menjadi bekal terbaik di alam sana.”
Itu doa kecilku saat menatapi sepetak pusara yang masih basah oleh siraman air jernih.
Atuk pejuang bangsa yang memilih untuk tidak dihargai. Tulisan- tulisan Atuk yang masih tersimpan akan kujadikan bahan santapan terindah di pangkal mataku.
Kuwarisi cinta merdeka ini. Cinta yang mengalir di pembuluh darah dan saraf ini. Aku sudah tidak sabar menunggu esok saat fajar tiga puluh satu Ogos akan bergemerlapan oleh cahaya.
‘Kubawa cinta merdeka ini kemana-mana. Atuk telah menghadiahiku cinta murni untuk kutumpahkan setia terhadap tanah air ini.”
Suaraku bergendang-gendang di lubuk kalbu ketika matahari Ogos sudah menghampiri penghujungnya. Tekadku suatu ketika nanti akan kuwarisi cinta merdeka ini kepada keturunanku di mana sahaja berada. Ini tanah watan yang makmur dan sejahtera selama-lamanya.-UTUSAN
