Zi Hong harap dapat jadi sehebat Chong Wei


PETALING JAYA: Chiam Zi Hong hanya berusia tujuh tahun ketika Datuk Seri Lee Chong Wei mengumumkan persaraannya, namun, legenda badminton negara itu tetap menjadi antara jaguh yang membentuk minatnya dalam sukan tersebut.

Pada usianya yang kini telahpun memasuki 14 tahun, pemain muda dari Johor itu kini berjaya menjadi salah seorang peserta dalam kejohanan yang membawa nama idolanya iaitu Piala Lee Chong Wei.

Apa yang lebih manis, Zi Hong berjaya menempah tiket ke Grand Final Piala Lee Chong Wei, hari ini, selepas mengharungi pertarungan sengit pada pusingan kelayakan perseorangan lelaki Bawah 15 Tahun menewaskan wakil Perak, William Phoon 15-11, 12-15, 17-15 di Stadium Juara, Bukit Kiara.

Kemenangan itu membolehkan Zi Hong beraksi dalam undian 64 terbaik dan jika dia berjaya melepasi halangan tersebut, maka, pemain berkenaan akan mara ke peringkat 32 terbaik.

Pada peringkat tersebut, Zi Hong berpeluang bersaing dengan pemain yang mewakili negeri dan juga kebangsaan.

“Ini kejohanan besar dan ramai pemain kuat di sini. Saya mahu bersaing dengan mereka dan menimba lebih banyak pengalaman,” kata Zi Hong sewaktu ditemu bual selepas perlawanan berakhir.

Pemain itu yang menjuarai perseorangan lelaki Bawah 15 Tahun pada sebuah kejohanan di Bangkok, Thailand, baru-baru ini sudah bersedia menetapkan hala tuju yang mahu dicapainya dalam sukan badminton.

“Saya mahu menyertai skuad kebangsaan, mewakili Malaysia dan berharap dapat beraksi di Sukan Olimpik serta Kejohanan Dunia.

“Selepas SPM, saya berharap dapat menyertai BAM, memberi tumpuan kepada latihan dan mula menyertai lebih banyak kejohanan antarabangsa,” ujarnya.

Untuk bergelar pemain handalan satu hari nanti, Zi Hong sering menjadikan Chong Wei sebagai model peranannya dengan menonton perlawanan bekas bintang No. 1 dunia itu di internet.

“Saya suka cara beliau bermain dengan begitu tenang. Saya masih belum berada pada tahap itu, tetapi saya cuba belajar sedikit demi sedikit daripada cara beliau bermain,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi prospek Bawah 15 Tahun, Ellis Ngi Cai Lin, turut menempah tiket ke Grand Final selepas menewaskan Ummi Athirah Mohd Khairul Anuar 15-9, 15-11 dalam pusingan 64 terbaik perseorangan perempuan.

Pemain kelahiran Johor itu yang merupakan pelajar Sekolah Sukan Bukit Jalil berharap dapat melangkah jauh pada kejohanan tersebut, walaupun, menyedari bakal berdepan persaingan yang lebih sengit selepas ini. – UTUSAN



Source link

OR

Scroll to Top