Okayama: Polis menahan seorang lelaki penganggur berusia 42 tahun kerana disyaki mencuri kira-kira 650 gugus anggur bernilai sekitar 1.43 juta yen (kira-kira RM36,006) dari sebuah rumah hijau di Wilayah Okayama, lapor Japan Today.
Lelaki berkenaan, Masakazu Maeda yang juga tidak mempunyai alamat tetap sudah didakwa dalam satu lagi kes kecurian anggur, namun menafikan sebahagian daripada dakwaan berkenaan.
“Setakat yang saya ingat, saya rasa jumlahnya tidak sampai 650 gugus,” kata Maeda.
Bagaimanapun, polis mengesyaki Maeda mencuri anggur Shine Muscat dan jenis anggur lain antara kira-kira jam 7 pagi pada 4 Ogos hingga sekitar jam 6 pagi keesokan harinya.
Menurut polis, Maeda memberitahu penyiasat bahawa dia menjual anggur berkenaan secara dalam talian di laman pasar lambak dan lelong.
Dia didakwa menjual anggur itu bagi menampung perbelanjaan hidup.
© New Straits Times Press (M) Bhd
