Shannon pecah rekod kebangsaan 200m kuak kupu-kupu


PETALING JAYA: Sensasi muda renang negara, Shannon Tan membuktikan dirinya semakin berbisa apabila memecahkan rekod kebangsaan acara 200 meter (m) kuak kupu-kupu dengan catatan luar biasa di Singapura, semalam.

Mewakili Akuatik Selangor, perenang berusia 16 tahun itu memecut ke garisan penamat dalam masa 2 minit 10.57 saat (s) untuk meraih emas pada Singapore National Swimming Short Course Invitational di OCBC Aquatics Centre.

Catatan berkenaan bukan sahaja memberikannya emas, malah memadam rekod kebangsaan miliknya sendiri iaitu 2:13.89s dengan peningkatan lebih tiga saat, selain melepasi dengan selesa catatan kelayakan B 2:13.36s bagi Kejohanan Dunia di Beijing, Disember ini.

“Saya sangat gembira dan sejujurnya agak terkejut dapat memecahkan rekod kebangsaan lebih daripada tiga saat.

“Saya memberi tumpuan kepada pelan perlumbaan, kekal tenang dan memastikan penamat yang kuat, jadi memenangi emas dengan catatan 2:10.57 menjadikannya lebih istimewa,” katanya.

Kejayaan itu meneruskan momentum hebat Shannon selepas mencuri tumpuan pada Sukan Malaysia (SUKMA) dengan membantu Selangor mencatat kempen dominan menerusi lapan pingat emas selain memecahkan beberapa rekod temasya.

Lebih menarik, pencapaian terbaharu itu mengukuhkan kedudukannya sebagai antara prospek paling cerah renang negara dan membuka peluang lebih besar untuk disenaraikan ke kejohanan dunia berkenaan.

“Saya dilahirkan di Beijing dan sudah tentu peluang untuk kembali ke sana akan mempunyai makna tersendiri buat saya,” katanya.

Shannon percaya prestasi di Singapura menjadi bukti segala kerja keras dalam latihan mula membuahkan hasil, selain menyuntik keyakinan lebih tinggi untuk menghadapi cabaran seterusnya.

“Ini memberikan saya banyak keyakinan dan menunjukkan kerja keras yang dilakukan mula membuahkan hasil.

“Saya sangat berterima kasih kepada jurulatih, rakan sepasukan, keluarga dan semua yang sentiasa memberikan sokongan,” katanya. – UTUSAN



Source link

OR

Scroll to Top