Penduduk trauma rumah dibadai ombak

Penduduk trauma rumah dibadai ombak


BESUT: Penduduk Kampung Pengkalan Atap di sini bersedia berpindah jika kediaman mereka dinaiki air susulan fenomena air laut pasang besar yang dijangka berlarutan Sabtu ini.

Seorang penduduk, Jefrydin Rashid, 52, berkata, kebanyakan penduduk yang tinggal di pinggir pantai akan berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) sekiranya berlaku peningkatan paras air laut dan ombak besar.

“Penduduk bimbang rumah mereka runtuh dan ditelan ombak sekira berlaku pertembu­ngan air laut pasang besar dan hujan lebat serta angin kencang.

“Selain itu, penduduk juga berdepan risiko kerugian apabila barangan elektrik dan perabot rosak sekiranya rumah mereka dimasuki air laut,” katanya ketika ditemui di Kampung Pengkalan Atap di sini, semalam.

Menurut Jefrydin, bagaimana­pun pada tahun ini mereka menjangka ancaman air laut pasang besar kali ini tidak seburuk sebelum ini berikutan benteng pemecah ombak telah dibina di kampung tersebut.

Sementara itu, seorang lagi penduduk Mohd. Azman Mohd. Naffi, 34, mengakui masih trauma apabila pernah berdepan detik cemas rumah yang diduduki musnah akibat dibadai ombak kuat dalam kejadian air laut pasang besar sebelum ini.

“Sebelum ini jarak pantai dari rumah penduduk di kampung ini dianggarkan lebih 100 meter tetapi kini jaraknya tinggal 10 hingga 20 meter sahaja.

“Rumah saya pula hanya tinggal sebuah bilik sahaja, sedangkan bahagian dapur dan ruang tamu telah runtuh pada Disember tahun lalu akibat hakisan pantai,” katanya.

Ujarnya lagi, dia kini menyewa sementara rumah di Kampung Alor Terantai dekat sini kerana bimbang mendiami rumahnya yang terletak di tepi pantai itu sekiranya dihanyutkan ombak.

Terdahulu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri Terengganu telah mengenal pasti sebanyak 41 kampung yang berisiko dilanda banjir akibat fenomena air laut pasang besar yang dijangka berlaku kira-kira seminggu bermula Sabtu lalu. – UTUSAN





Source link

OR

Scroll to Top