Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mendedahkan beliau pernah dinasihati institusi diraja Johor supaya memohon maaf secara peribadi kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, susulan kenyataannya yang menggesa pemimpin itu berundur selepas kekalahan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Menurut Onn Hafiz, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menasihatinya bahawa kenyataan dibuat ketika itu dianggap keterlaluan dan perlu diperbetulkan demi kestabilan pentadbiran negeri.
“Mereka beritahu saya tidak mengapa untuk memohon maaf dan pergi berjumpa presiden saya. Kita ada sebuah negeri untuk ditadbir,” katanya dalam episod ke-200 podcast politik Keluar Sekejap.

Beliau berkata, susulan nasihat tersebut, beliau mengambil keputusan bertemu sendiri dengan Ahmad Zahid dan memohon maaf tanpa sebarang syarat.
“Saya memohon maaf sekiranya kenyataan saya menyinggung perasaan beliau. Alhamdulillah, saya rasa beliau telah memaafkan saya.
“Dari segi hubungan parti dan urusan pentadbiran, perkara itu kini dianggap selesai,” katanya lagi.

Pengakuan terbuka itu tercetus selepas pengacara bersama podcast berkenaan, Shahril Hamdan, membangkitkan bahawa Onn Hafiz merupakan antara pemimpin UMNO terawal yang secara terbuka mendesak Ahmad Zahid melepaskan jawatan selepas prestasi buruk BN pada PRU15.
Namun, berbeza dengan Shahril yang digantung daripada parti kerana kenyataan sama, Onn Hafiz tidak dikenakan sebarang tindakan disiplin.
“Awak yang pertama menyatakannya. Saya hanya yang kedua, tetapi saya pula yang digantung,” kata Shahril secara berseloroh.
Artikel lain: Telefon dipantau! MB Johor dakwa jadi sasaran pengintipan digital
Menjawab perkara itu, Onn Hafiz berkata beliau menerima nasihat daripada istana Johor selain banyak berdoa sebelum mengambil keputusan untuk memperbaiki hubungan dengan kepimpinan parti.
“Pada masa itu, saya menerima nasihat daripada istana Johor. Dan saya juga banyak berdoa,” katanya sambil mencetuskan gelak tawa hos.
Untuk rekod, BN hanya memenangi 30 kerusi Parlimen pada PRU15, sekali gus mencetuskan tekanan dalam UMNO agar Ahmad Zahid mencontohi Datuk Seri Najib Razak yang melepaskan jawatan sebagai Pengerusi BN selepas kekalahan pada PRU14.



