Pelajar Malaysia bersalah di UK bunuh bayi, sumbat dalam kotak bijirin

Pelajar Malaysia bersalah di UK bunuh bayi, sumbat dalam kotak bijirin


COVENTRY – Seorang pelajar Malaysia di United Kingdom disabitkan kesalahan membunuh selepas mayat bayi yang baru lahir ditemukan disumbat dalam kotak bijirin dan disembunyikan dalam beg pakaian.

Menurut BBC, Teo Jia Xin yang berusia 22 tahun mengaku bersalah atas tuduhan membunuh.

Terdahulu, Crown Prosecution Service (CPS) berkata, Teo mendakwa dia telah mendengar suara mengarahkannya untuk membuang bayi itu.

Bagaimanapun, juri di Mahkamah Warwick Crown menolak pembelaan beliau.

CPS berkata, Teo mengandungkan bayi itu sehingga cukup bulan dan bersalin pada 4 Mac sebelum memasukkan bayi itu dalam kotak bijirin.

Kotak itu kemudiannya diletakkan di dalam beg plastik yang boleh ditutup dan disimpan dalam beg pakaian.

Pendakwa raya menambah bahawa bayi itu masih hidup selepas dilahirkan dan Teo tahu kanak-kanak itu akan mati selepas dimasukkan ke dalam kotak.

Anggota polis West Midlands dipanggil ke kediaman Teo dua hari selepas dia melawat hospital yang menunjukkan tanda-tanda melahirkan anak.

Kakitangan hospital telah bertanya kepadanya sama ada dia melahirkan bayi baru-baru ini, tetapi Teo yang baru tiba di UK awal tahun ini, menafikannya.

Hanya selepas disoal siasat oleh polis barulah dia mengaku telah melahirkan anak.

Teo dilaporkan menyembunyikan kehamilannya kerana takut keluarga dan rakan-rakannya di Malaysia mengetahuinya, yang dipercayai boleh menjejaskan pelajarannya.

Selepas sabitan, James Leslie Francis dari CPS berkata Teo tiba di UK mengetahui bahawa dia mungkin akan bersalin di sana dan mempunyai peluang untuk mendapatkan bantuan.

“Dia memilih untuk merahsiakan kehamilannya dan melahirkan seorang diri. Dia juga berbohong kepada rakan-rakannya yang prihatin, kepada doktor hospital, dan kepada polis untuk menghalang sesiapa daripada menemui bayinya,” katanya. – Agensi



Source link

OR

Scroll to Top