Situasi keselamatan di Lubnan sangat mencabar -UNIFIL

Situasi keselamatan di Lubnan sangat mencabar -UNIFIL


GENEVA- Misi pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) pada Jumaat menyatakan bahawa situasi keselamatan di selatan Lubnan adalah “sangat mencabar” walaupun langkah-langkah yang meluas telah diambil untuk melindungi keselamatan para anggotanya.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh misi itu, dua pasukan perubatan yang bertemu di Yarin untuk memindahkan seorang pesakit telah ditembak oleh pihak yang tidak dikenali awal pagi Rabu.

“Sebuah kenderaan tidak dapat bergerak dan terpaksa ditinggalkan di tempat kejadian,” menurut kenyataan itu yang dipetik oleh Agensi Anadolu (AA).

Pada petang hari  sama, sebuah kemudahan perubatan di kedudukan UNIFIL di Beit Leif terkena peluru atau roket yang tidak diketahui asal usulnya, menyebabkan kerosakan pada bangunan.

Menurut kenyataan itu lagi, dua lagi peluru atau roket yang juga tidak diketahui asal usulnya, terkena berhampiran kedudukan UNIFIL di Kafer Chouba, mengakibatkan kerosakan pada tempat tinggal dan tempat perlindungan.

Pengaman di kedua-dua lokasi berada di tempat perlindungan pada masa kejadian dan tiada pengaman yang cedera dalam insiden berkenaan, menurut kenyataan itu.

“Semua pihak diingatkan tentang kewajipan mereka untuk mengelakkan tindakan yang meletakkan pengaman atau orang awam dalam bahaya, Kami terus menggesa semua pihak yang terlibat dalam konflik untuk menyelesaikan perbezaan mereka di meja rundingan, melalui penyelesaian politik dan diplomatik — bukan melalui keganasan, ” katanya.

Ia berkata: “UNIFIL kekal di lapangan dan bersedia untuk menyokong usaha ini.”

Serangan tentera terhadap UNIFIL telah mendapat kecaman antarabangsa.

UNIFIL beroperasi antara Sungai Litani di selatan Lubnan dan Garisan Biru, yang berfungsi sebagai sempadan dengan Israel, sebagai sebahagian daripada mandatnya di bawah Resolusi 1701 Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk mengekalkan keselamatan di rantau itu.

— BERNAMA-ANADOLU



Source link

OR

Scroll to Top