Mbappe dipuja Perancis, dikritik Madrid

Mbappe dipuja Perancis, dikritik Madrid


Dallas: Jika bersama Perancis, Kylian Mbappe terus meledak gol demi gol di Piala Dunia. Namun bersama Real Madrid, dia masih belum mampu mengelak daripada menjadi sasaran kritikan.

Situasi itu menjadi antara paradoks menarik pada Piala Dunia kali ini apabila kapten Perancis itu tampil cemerlang menjelang aksi separuh akhir menentang Sepanyol di Dallas.

Prestasi luar biasa Mbappe di Amerika Syarikat hadir hanya beberapa minggu selepas mengakhiri musim kedua yang bercampur baur bersama Real Madrid apabila kecemerlangan individu gagal diterjemahkan kepada kejayaan berpasukan.

Sejak menyertai gergasi Sepanyol itu pada 2024, Real Madrid masih gagal memenangi sebarang trofi utama.

Bagaimanapun, kelab itu mencipta rekod baharu di Piala Dunia apabila pemainnya meledak 19 gol setakat ini, mengatasi rekod terdahulu sebanyak 18 gol yang dikongsi Honved dari Hungary pada 1954, Bayern Munich pada 2014 dan Paris Saint-Germain pada 2022.

Lebih menarik, tiada seorang pun pemain Real Madrid yang menjaringkan gol di Piala Dunia kali ini berada dalam skuad Sepanyol kerana juara La Liga sebanyak 36 kali itu tidak mempunyai wakil dalam pasukan berkenaan.

Sebahagian besar jaringan Real Madrid disumbangkan Jude Bellingham yang meledak enam gol, namun Mbappe menjadi penyumbang terbesar dengan lapan gol dan kini berkongsi kedudukan selaku penjaring terbanyak bersama Lionel Messi.

Pada usia 27 tahun, Mbappe dilihat kembali berada pada kemuncak prestasinya di pentas Piala Dunia, kejohanan yang melonjakkan namanya ketika membantu Perancis muncul juara pada edisi 2018 di Russia.

Seperti jurulatih Didier Deschamps dan seluruh skuad Perancis, Mbappe bertekad menghadiahkan bintang ketiga buat Les Bleus selepas kekecewaan tewas pada final Piala Dunia 2022 di Qatar.

‘Pemain yang luar biasa’

Prestasi cemerlang Mbappe di Piala Dunia bagaimanapun masih belum mampu menghapuskan kritikan yang diterimanya di Madrid pada penghujung musim lalu apabila ada pihak mendakwa dia lebih mengutamakan skuad kebangsaan berbanding kelab.

Dari sudut pencapaian di atas padang, musim kedua Mbappe bersama Real Madrid yang disertainya dengan impian menjulang Liga Juara-Juara Eropah berakhir penuh kekecewaan apabila mereka tersingkir awal di tangan Bayern Munich sebelum gagal merampas kejuaraan La Liga daripada Barcelona.

Walaupun mencatat statistik mengagumkan dengan 42 gol dalam 44 perlawanan, termasuk 25 gol dalam saingan liga sehingga menghadiahkannya Trofi Pichichi sebagai penjaring terbanyak La Liga buat musim kedua berturut-turut, ia masih belum mencukupi untuk meredakan tekanan di sebuah kelab yang hanya mengukur kejayaan menerusi trofi.

Salah satu insiden yang mencetuskan perhatian berlaku pada Mei lalu apabila Mbappe secara terbuka mempersoalkan keputusan jurulatih ketika itu, Alvaro Arbeloa, yang tidak menyenaraikannya dalam kesebelasan utama ketika menentang Real Oviedo selepas pulih daripada kecederaan hamstring.

“Saya tidak bermain kerana jurulatih memberitahu saya bahawa saya adalah penyerang pilihan keempat dalam skuad di belakang Franco Mastantuono, Vinicius Junior dan Gonzalo Garcia,” kata Mbappe kepada wartawan sambil menegaskan dia menghormati keputusan itu dan “tidak marah.”

Arbeloa kemudian menafikan pernah membuat penilaian sedemikian dan menjelaskan Mbappe salah memahami apa yang dimaksudkannya.

Pada Mac lalu pula, timbul laporan mengenai perbezaan pendapat antara Mbappe, wakilnya dan pegawai perubatan Real Madrid berhubung cara kecederaan lutut yang berpanjangan dikendalikan.

Mbappe cuba meredakan keadaan dengan menafikan dakwaan bahawa kelab membuat diagnosis yang salah, namun penjelasan itu tidak meyakinkan semua pihak.

Sejak itu, Real Madrid melakukan rombakan terhadap barisan pegawai perubatan mereka.

Kelab itu juga menukar jurulatih apabila melantik Jose Mourinho bagi mengembalikan kegemilangan pasukan selepas tidak mahu mengulangi kegagalan era singkat Xabi Alonso serta tempoh sukar di bawah Arbeloa.

Tidak lama selepas dilantik, Mourinho sempat bergurau dengan berkata dia berharap semua pemainnya “tersingkir daripada Piala Dunia secepat mungkin.”

Namun dalam satu temu bual pada penghujung Jun lalu, pengendali dari Portugal itu memberi pujian tinggi kepada Mbappe.

“Satu perkara yang saya boleh katakan mengenai Kylian Mbappe ialah dia seorang pemain yang luar biasa dan saya akan berusaha membantunya menjadi lebih hebat daripada sekarang,” katanya.

Penyokong Real Madrid pastinya berharap Mbappe mampu mengemudi kelab itu musim depan sebagaimana dia kini memimpin Perancis dalam kempen Piala Dunia.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top