harisfadli@hmetro.com.my
Petaling Jaya: Pemandu Proton X70 yang didakwa merempuh seorang penunggang motosikal hingga maut dalam kemalangan di Jalan 17/21, di sini, pada 5 Mei lalu, akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret, esok.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, suspek yang berusia lingkungan 70-an dijangka dituduh pada prosiding yang berlangsung pagi esok.
“Betul akan dituduh esok pagi,” katanya ringkas ketika mengulas berhubung kes malam tadi.
Terdahulu Harian Metro melaporkan, pada 5 Mei lalu, mangsa berusia 20-an maut selepas terbabit dalam kemalangan dengan sebuah Proton X70 di Jalan 17/21 di sini.
Shamsudin berkata, siasatan awal mendapati pemandu kereta berkenaan hilang kawalan sebelum terbabas ke laluan bertentangan lalu melanggar motosikal terbabit.
Susulan itu, suspek yang merupakan seorang warga emas dilaporkan dibebaskan dengan jaminan polis atas faktor kesihatan sementara pihak polis melengkapkan siasatan.
Mangsa dikenal pasti sebagai Azim Haikal Noor Aziddin, 22, penuntut Diploma Komunikasi, Fakulti Sains Sosial, Universiti Islam Selangor (UIS) baru sahaja menamatkan latihan industri dan sedang menunggu hari konvokesyen yang dijadual berlangsung Ogos depan.
© New Straits Times Press (M) Bhd






