KUALA LUMPUR – Isu mengibarkan bendera China pada acara perarakan di Menara Condong Teluk Intan, Perak tidak sepatutnya menjadi polemik sehingga menyebabkan sektor pelancongan terjejas.
Menurut Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing, sambutan Guan Gong Sedunia yang berarak sambil mengibarkan bendera China itu sebenarnya lebih kepada menyatakan sokongan serta tanda persahabatan dan tidak sepatutnya diperbesarkan.
Kata beliau, Malaysia sentiasa berbangga menjadi sebuah negara berbilang etnik namun tindak tanduk segelintir dalam isu berkenaan bukan sahaja bertentangan dengan nilai kesederhanaan sebaliknya berisiko menimbulkan tanggapan seolah-olah Malaysia tidak mengalu-alukan kedatangan pelancong asing dalam acara kebudayaan tempatan.
“Ini boleh beri implikasi negatif, ramai juga rakyat meluahkan kebimbangan mereka jika adakan acara kebudayaan, perayaan sepatutnya memberikan kebebasan, sebelum ini bendera negara lain telah dikibarkan dalam acara-acara tanpa kritikan keras tapi mengapa ini? Tolong jangan sikap double standard,” katanya.
Kata King Sing, insiden itu sebenarnya sengaja diperbesarkan oleh segelintir yang mahu mengeruhkan suasana harmoni pada masa ini.
“Sambutan Guan Gong Sedunia merupakan acara kebudayaan antarabangsa yang dihadiri peserta dari beberapa negara seperti Vietnam, Thailand dan China. Peserta dari negara China mungkin telah mengibarkan bendera negara mereka sebagai tanda sokongan dan semangat meraikan perayaan itu terutamanya sempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia-China.
“Di negara jiran, perayaan dan acara kebudayaan yang serupa dihadiri oleh peserta antarabangsa yang mengibarkan bendera negara masing-masing sebagai ekspresi sokongan dan keterujaan. Walau bagaimanapun, situasi yang sama tidak pula menjadi kontroversi di sana,” ujarnya.
Dalam pada itu, King Sing juga melahirkan penghargaan terhadap Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad yang menyatakan tindakan itu bukan satu jenayah dan pelancong asing yang berkunjung tidak wajar ditakutkan sebegini.
“Tapi Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh nampaknya meletakkan batasan dan halangan yang tidak wajar kepada pertumbuhan dan pembangunan negara. Apakah niat beliau sebenarnya? Saya juga tidak faham,” tegasnya.
King Sing juga menggesa pihak polis supaya lebih telus dan adil berhubung siasatan 17 warga China yang terlibat dalam perarakan itu.
Kelmarin, seramai 17 peserta warga China yang terlibat dalam sambutan Guan Gong Sedunia, Stesen Malaysia dan mengibarkan bendera asing ketika perarakan di Menara Condong Teluk Intan.
Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, pihaknya telah mendapat kebenaran daripada Timbalan Pendakwa Raya petang semalam dan semua mereka terdiri daripada sembilan lelaki dan lapan wanita telah dipanggil untuk merakamkan keterangan bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette