Sudan Selatan isytihar wabak taun

Sudan Selatan isytihar wabak taun


JUBA: Sudan Selatan mengisytiharkan wabak taun selepas 44 kes yang disyaki dilaporkan di negara itu semalam.

Daripada jumlah tersebut, enam kes disahkan taun melalui makmal pada 23 Oktober lepas di Renk, negeri Upper Nile.

Sehingga 27 Oktober lepas, 49 kes taun dilaporkan dalam kalangan pelarian dan penduduk tempatan.

Menteri Kesihatan, Yolanda Awel Deng memberikan jaminan kepada rakyat bahawa kerajaan komited untuk menghentikan penyebaran wabak di Renk.

“Kementerian Kesihatan menyedari kesukaran yang dihadapi oleh pelarian, seperti kepadatan penduduk dan kualiti air serta kelemahan sistem sanitasi, yang boleh mencetuskan wabak.

“Bagaimanapun, kementerian sedang bekerjasama dengan rakan rakan kluster kesihatan dan sanitasi air serta kebersihan di lapangan bagi memastikan risiko penularan dapat diminimumkan,” kata Deng.

Wakil Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di Sudan Selatan, Dr. Humphrey Karamagi mengesahkan agensi itu menempatkan bekalan perubatan diperlukan untuk pengurusan taun di Renk dan Malakal, negeri Upper Nile.

Beliau turut menegaskan komitmen WHO untuk membantu kerajaan Sudan Selatan dan rakan kongsi dalam mengawal wabak.

Karamagi mengulangi komitmen organisasi itu untuk menyokong kementerian dalam meningkatkan pengawasan penyakit, memperbaiki koordinasi tindak balas serta memastikan kesediaan bekalan perubatan.- ANADOLU





Source link

OR

Scroll to Top