Tanah runtuh kuat macam bunyi meriam, gegaran tepi rumah – Aishah

Tanah runtuh kuat macam bunyi meriam, gegaran tepi rumah – Aishah


SEGAMAT – Empat beranak di Felda Chemplak di sini sempat menyelamatkan diri semasa rumah mereka bergegar dan dinding musnah dalam kejadian tanah runtuh ketika hujan lebat pada Khamis lalu.

Semasa kejadian, Noor Aishah Othman, 40, bersama-sama anak kembarnya, Yumnah Osnizam, dan Yusrah Osnizam, 10, serta seorang lagi anaknya, Yusuf Osnizam, 4, berada di rumah.

Dia berkata, semasa insiden itu pada pukul 2.30 petang, tiga anaknya sedang menonton televisyen manakala suaminya, Osnizam Othman, 40, tiada di rumah.

“Kejadian tersebut berlaku di tebing luar rumah kami iaitu rumah generasi kedua Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) di sini.

“Ketika kejadian hujan sangat lebat sebelum tiba-tiba terdengar bunyi dentuman seolah-olah bunyi tembakan meriam tentera disusuli gegaran yang kuat dari tepi rumah.

“Saya dan anak-anak kemudian bergegas menyelamatkan diri selepas merasakan gegaran dari dalam rumah akibat pergerakan tanah tebing,” katanya ketika ditemui hari ini.

Sejurus itu, katanya, dinding ruang tamu dan tebing di bahagian luar rumah runtuh.

Dia bagaimanapun bersyukur kerana mereka empat beranak sempat menyelamatkan diri dari bahagian ruang tamu yang ketika itu tiga anaknya menonton televisyen.

Kejadian terbabit turut menyebabkan dua dinding bilik tidur rumah berkenaan runtuh namun tiada perkakas elektrik dan perabot rosak dalam kejadian tersebut.

“Semasa meninjau keadaan di luar bukan sahaja tebing di rumah saya runtuh tetapi juga tebing rumah jiran. Saya bersyukur Allah gerakkan hati saya dan anak-anak beredar beberapa saat dari ruang tamu sebelum kejadian itu.

“Hati saya berdebar-debar, rupa-rupanya petanda kejadian ini berlaku,” ujarnya.

Sementara itu, jirannya, Jaffar Paiman, 60, berkata, pengurusan Felda Chemplak kini menjalankan siasatan sebaik menerima laporan berhubung kejadian berkenaan.

Bekas pesara polis itu memberitahu, buat sementara, penghuni di kawasan berisiko itu diminta berpindah sehingga keadaan kembali pulih.

“Pihak pengurusan Felda Chemplak meminta bantuan beberapa agensi berkenaan untuk mengenal pasti punca runtuhan tebing di kawasan ini,” katanya.

Menurutnya, pengurusan Felda Chemplak dan kontraktor segera melakukan kerja-kerja pembaikan dan pengukuhan tebing setinggi kira-kira lapan meter.

“Pengurusan Felda Chemplak sudah menggerakkan sebuah jentera bagi kerja pembaikan tebing sepenuhnya dan dijangka siap dalam masa terdekat,” katanya.- MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top