Tak boleh hanya harap AMD

Tak boleh hanya harap AMD


Laporan Sukan Sinar pada Selasa.

SEMUA pihak tidak hanya boleh mengharapkan kepada Akademi Mokhtar Dahari (AMD) sahaja untuk menjadi pembekal pemain muda selepas kegagalan Harimau Muda meraih tiket ke Pusingan Akhir Piala Asia Bawah 17 (B-17) 2025.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP), Safirul Azli Abu Bakar berkata, kegagalan untuk setiap pasukan kelab mencungkil bakat pemain berkualiti menyebabkan pasukan negara akan kehilangan bakat muda di pentas antarabangsa.

“Masalah ini tidak akan selesai selagi semua pasukan kelab tidak bersama membentuk pemain. Semua kelab ini ada objektif mereka tersendiri membangunkan pemain untuk kegunaan mereka sendiri.

“Itu kerja kelab bola sepak. Jika ada persaingan untuk membangunkan pemain itu, sudah tentu semua kelab akan cuba buat yang terbaik.

“AMD ini bagus untuk meningkatkan kualiti pemain, tetapi tak ada persaingan. Situasi ketika ini memerlukan persaingan dan perlumbaan untuk menghasilkan pemain yang baik.

“Jika semua ini (persaingan) tidak berlaku, maka ekosistem ini tidak cantiklah,” katanya kepada Sukan Sinar.

Dalam aksi saingan kelayakan Kumpulan H di Vientiane, Laos baru-baru ini Malaysia gagal mara ke Piala Asia B-17 menamatkan saingan di tangga kedua selepas tewas 0-2 kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan terikat 2-2 dengan Laos untuk sekadar mengutip satu mata.

Aksi pemain Harimau Muda B-17 negara ketika berdepan Laos dalam perlawanan Kumpulan H Kelayakan Piala Asia B-17 2025 di Vientiane, Ahad lalu. Foto Football Association of Malaysia

Aksi pemain Harimau Muda B-17 negara ketika berdepan Laos dalam perlawanan Kumpulan H Kelayakan Piala Asia B-17 2025 di Vientiane, Ahad lalu. Foto Football Association of Malaysia

Untuk rekod, pasukan B-17 negara pada kempen kelayakan kali ini dibarisi pemain terbaik dari AMD dan Johor Darul Ta’zim (JDT),

Situasi itu menimbulkan kehairanan kepada banyak pihak yang melihat Harimau Muda sudah dibarisi pemain terbaik dari AMD dan Johor Darul Ta’zim (JDT), namun gagal mencapai keputusan diharapkan.

Dalam pada itu, Safirul Azli turut melihat keputusan yang dicapai Harimau Muda di pusingan kelayakan itu sememangnya amat mengecewakan.

“Seperti keputusan yang dahulu, skuad B-17 pernah menang dengan UAE dan itu menunjukkan kita sebenarnya boleh bersaing dengan mereka.

“Dengan Laos pula, sepatutnya tidak ada masalah untuk menang. Justeru, kita kena melihat secara lebih teliti keadaan ini,” katanya.



Source link

OR

Scroll to Top