am@hmetro.com.my
Bertemakan klasik dan tradisional Melayu, majlis akikah dan cukur jambul, anak pelakon popular, Siti Saleha iaitu Indra Mateen Fitton berlangsung meriah dengan kehadiran kira-kira 300 ahli keluarga dan rakan di Paya Dalam, Melaka, baru-baru ini.
Menurut Saleha atau nama sebenarnya, Siti Saleha Mohd Baharum, 35, dia bersyukur kerana majlis yang dirancang berjalan lancar.
“Sebenarnya, kami sudah rancang lama untuk buat majlis kesyukuran ini sebab Indra akan mencecah usia enam bulan minggu depan.
“Sepatutnya, kami nak buat majlis lebih awal di kampung di mana semua ahli keluarga termasuk datuk dan nenek Indra semuanya berkumpul di sini.
“Tapi mereka pula pergi bercuti sepanjang bulan lalu dan kami tunggu mereka balik sebelum buat majlis kesyukuran ini,” katanya.
Mengulas tema tradisional pula, kata Saleha, suaminya, Joshua Fitton yang memilih untuk mengadakan majlis mengikut adat dan tradisi Melayu.
“Suami mahu mengekalkan adat dan tradisi kerana dia membesar dengan ahli keluarganya yang sering mengadakan pelbagai majlis kenduri di kampung.
“Mengikut adat Jawa, makanan tidak habis ketika kenduri akan dibungkus untuk tetamu bawa balik sebab itu tradisi mereka. Ibu mentua saya juga beritahu semua tetamu yang datang juga menyukai sajian yang dihidangkan.
“Lebih bermakna, majlis ini juga dimeriahkan dengan kehadiran Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Dr Mohd Ali Rustam dan isteri yang juga kawan rapat ibu mentua,” kata pelakon berdarah campuran Melayu-Inggeris itu.
Berkongsi perkembangan Indra pula, kata Saleha, anak lelakinya membesar dengan baik dan beratnya juga sudah mencecah lebih 8.1 kilogram.
“Alhamdulillah, Indra akan mencecah usia enam bulan dan saya akan berikan dia makan makanan pejal lebih banyak lagi. Dia suka makan avokado, lobak merah dan kentang.
“Tapi rutin kami masih sama tidak cukup tidur kerana Indra akan bangun setiap dua jam selepas jam 2 pagi. Saya pula memang kena bangun untuk menyusukannya.
“Pada masa sama, saya juga mahu meluangkan banyak masa dengan anak dan kalau boleh kami nak pergi bercuti bersama Indra sekali,” katanya.
Sementara itu, beralih kepada karier lakonan, kata pelakon drama bersiri popular Bad Cop itu, dia juga akan mempertimbangkan jika ada tawaran yang bagus.
“Saya tidak mahu orang ada persepsi yang saya sudah tidak berlakon bila dapat anak.
“Sedangkan saya memang mahu kembali berlakon jika projek yang ditawarkan menarik dan berbaloi. Maklumlah, Indra masih kecil dan menyusu badan.
“Walaupun tidak terbabit dengan aktiviti lakonan ketika ini, saya sibuk menjayakan kempen di media sosial dan saya gembira dapat meluangkan lebih masa bersama anak di rumah,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd






