ARLINGTON: Mohamed Salah muncul wira apabila menyempurnakan sepakan penalti bergaya ‘Panenka’ untuk membantu Mesir menewaskan Australia 4-2 menerusi penentuan penalti selepas terikat 1-1, sekali gus melakar sejarah mara ke pusingan 16 terbaik Piala Dunia buat kali pertama.
Kemenangan dramatik di Stadium Dallas itu menyaksikan juara tujuh kali Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) berdepan cabaran lebih besar apabila dijadual menentang juara bertahan, Argentina yang terlebih dahulu perlu melepasi halangan Cape Verde.
Mesir membuka jaringan seawal minit ke-13 menerusi tandukan Emam Ashour hasil hantaran Karim Hafez untuk meletakkan Australia di bawah tekanan.
Australia yang hanya menjaringkan dua gol sepanjang aksi peringkat kumpulan akhirnya menyamakan kedudukan pada minit ke-55 selepas pertahanan Mesir, Mohamed Hany tertanduk bola ke gawang sendiri ketika cuba mengeluarkan hantaran percuma lawan.
Kedua-dua pasukan gagal menghasilkan gol kemenangan sepanjang baki masa permainan termasuk tambahan 30 minit, sekali gus memaksa perlawanan ditentukan menerusi penentuan sepakan penalti.
Australia bermula hambar apabila Harry Souttar menyepak tinggi melepasi palang sebelum Lucas Herrington turut mensia-siakan sepakan apabila terkena palang, membuka laluan mudah buat Mesir.
Salah yang sebelum itu bergelut mempamerkan aksi terbaik akibat kecederaan hamstring menebus kekecewaan apabila tenang menyempurnakan penalti ‘Panenka’, sebelum Hossam Abdelmaguid menyempurnakan sepakan terakhir untuk mengesahkan kemenangan Mesir.
Kejayaan itu turut menamatkan penantian panjang Mesir untuk memenangi perlawanan kalah mati Piala Dunia, manakala Australia terus kempunan memburu kemenangan sulung di pentas tersebut selepas sekali lagi tersingkir dengan penuh kekecewaan. – AGENSI






