JOHOR BAHRU – Polis berjaya mendapatkan RM7.2 juta daripada keseluruhan wang tebusan RM20 juta dikatakan diserahkan kepada sindiket dalam kes culik seorang ahli perniagaan 13 Oktober lalu
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, jumlah diperoleh itu melibatkan bayaran dalam bentuk wang tunai dan mata wang digital.
“Ini melibatkan wang tunai RM1.95 juta dan mata wang asing iaitu SGD1 juta (RM3.3 juta) dan wang digital berjumlah USDT400,00 (RM1.75 juta).
“Selain itu pihak polis turut merampas sepucuk pistol jenis Pietro Beretta dipercayai bukan pistol tiruan, 250 butir peluru hidup dan sepasang gari,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini. Turut hadir Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar.
Mohd Shuhaily berharap, kes tersebut dapat diselesaikan dengan kadar segera kerana melibatkan warga asing termasuk dipercayai ada suspek yang masih bebas.
Setakat ini katanya, seramai 14 suspek sudah ditahan untuk siasatan melibatkan 10 lelaki dan seorang wanita tempatan serta dua lelaki dan seorang wanita Vietnam.
“Suspek paling muda berusia 23 tahun manakala paling tua 58 tahun. Daripada 14 orang ini mereka mempunyai peranan masing-masing dan terbahagi beberapa kumpulan,” katanya.
Antaranya kata beliau, satu kumpulan berperanan dalam konteks perancangan dan pelaksanaan culik, satu lagi kumpulan melupuskan barang-barang culik serta menguruskan wang tebusan.
Ditanya mengenai seorang daripada suspek yang merupakan ahli keluarga suspek, beliau berkata, perkara itu masih dalam siasatan dan tidak mahu mendedahkannya.
Menurutnya, masih terlalu awal untuk berkongsi maklumat tersebut termasuk dalang utama di sebalik sindiket itu serta motif di sebalik penculikan berkenaan.
Tambah beliau, beberapa suspek mempunyai rekod lampau dan mengesahkan ini kali pertama mangsa yang merupakan seorang pemaju sekali gus menafikan mangsa pernah diculik sebelum ini.
Minggu lalu, Kumar mengesahkan bahawa pihaknya menahan 13 individu dalam beberapa siri tangkapan di sekitar negeri ini manakala seorang lagi ditahan di Senai di sini kelmarin.
Media sebelum ini melaporkan seorang ahli perniagaan mendakwa dilarikan sekumpulan individu dalam kejadian di rumahnya di sini kira-kira pukul 5 pagi, ketika menunggu perkhidmatan e-hailing di rumahnya untuk ke lapangan terbang bagi urusan perniagaan di luar negara.
Mangsa berusia 59 tahun itu mendakwa dia dibebaskan pada hari yang sama hanya selepas keluarganya membayar wang tebusan berjumlah RM20 juta.
Semua 14 suspek tersebut kini direman sehingga 5 November ini.- MalaysiaGazette