Siasatan Domestik Pelaburan KWAP Dalam Skandal eFishery Hampir Selesai – SPRM


Siasatan domestik Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung pelaburan RM163.4 juta Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) dalam syarikat teknologi akuakultur Indonesia, eFishery, kini hampir selesai.

Bagaimanapun, siasatan berkenaan masih belum dapat dimuktamadkan berikutan beberapa keterangan dan dokumen berkaitan perlu diperoleh dari luar negara.

SPRM dalam kenyataan memaklumkan, proses Bantuan Perundangan Bersama (MLA) sedang dilaksanakan membabitkan empat negara dan wilayah iaitu Singapura, Indonesia, Amerika Syarikat serta Abu Dhabi.

“Proses Mutual Legal Assistance (MLA) sedang berjalan dengan Singapura, Indonesia, Amerika Syarikat dan Abu Dhabi bagi mendapatkan keterangan serta dokumen berkaitan.

“Ia mungkin mengambil masa kerana melibatkan prosedur perundangan dan bidang kuasa negara lain,” kata kenyataan menerusi Facebook SPRM.

Setakat ini, SPRM sudah merakam keterangan 19 individu bagi membantu siasatan, termasuk pegawai KWAP, pegawai kanan Kementerian Kewangan (MOF) serta Khazanah.

Bagaimanapun, belum ada sebarang tangkapan dibuat selepas siasatan setakat ini tidak menemukan keperluan untuk tindakan berkenaan.

Menurut SPRM, skop siasatan bukan hanya tertumpu kepada usaha mengenal pasti pihak yang mungkin melakukan kesalahan, sebaliknya turut merangkumi penelitian terhadap kemungkinan wujud unsur rasuah, penyelewengan atau penyalahgunaan kuasa dalam pelaburan tersebut.

Aspek tatakelola juga menjadi sebahagian daripada penelitian SPRM, khususnya membabitkan prosedur, peraturan serta garis panduan sedia ada yang mungkin memerlukan penambahbaikan.

“Siasatan diteruskan. Setiap fakta diteliti. Setiap dokumen disemak.

“Kerana dalam setiap siasatan, SPRM bukan mengejar kesimpulan tetapi mencari kebenaran,” katanya.

Isu pelaburan KWAP dalam eFishery menjadi perhatian selepas Kementerian Kewangan menerusi jawapan bertulis di Parlimen pada 15 Julai lalu memaklumkan pelaburan berjumlah AS$47.7 juta atau kira-kira RM200 juta dalam syarikat berkenaan terjejas akibat penipuan terancang susulan manipulasi laporan kewangan.

SPRM kemudian menubuhkan pasukan siasatan khas pada 17 Julai lalu bagi menyiasat perkara itu, manakala KWAP sehari kemudian menjelaskan nilai keseluruhan pelaburannya dalam eFishery adalah RM163.4 juta, bersamaan kira-kira 2.51 peratus pegangan saham dalam syarikat berkenaan.

KREDIT GAMBAR UTAMA: CNBC






Source link

OR

Scroll to Top