Hanya perselisihan faham kecil – Farid Kamil

Hanya perselisihan faham kecil – Farid Kamil


KUANG: Pelakon, Farid Kamil, menyifatkan pergolakan yang menimpa rumah tangganya hanyalah sekadar perselisihan faham yang biasa dihadapi pasangan suami isteri.

Justeru, pelakon berusia 43 tahun itu, yang ditemui pada sesi penggambaran filem Bisikan Dosa malam tadi itu menganggap situasi tersebut sebagai isu yang tidak perlu diperbesarkan.

“Ia hanyalah perselisihan faham kecil, apa pun saya ambil positif terhadap apa yang berlaku.

“Keadaan saya pun biasa sahaja, Tsunami pun berlaku dua kali, Ini kan pula ombak dalam perkahwinan.

“Perkara yang menimpa rumah tangga kami ibarat episod dalam drama, cuma kali ini saya lebih bersedia menghadapinya.

“Dalam hidup kita ini tak ada siapa yang boleh meramalkan perkara akan datang. Jadi saya anggap apa yang berlaku ini sebagai takdir Tuhan,” katanya.

Farid mengulas mengenai hasrat Diana yang meminta agar dia dilepaskan sebagai isteri kepada pelakon berkenaan.

Diana pada Isnin lepas mengejutkan dunia hiburan tempatan apabila secara terbuka memaklumkan di media sosial akan memfailkan penceraian terhadap Farid.

Hasrat itu diluahkan ibu kepada dua cahaya mata itu selepas satu tahun merujuk semula dengan Farid.

Pelakon filem Anak Halal itu pada masa yang sama mengesahkan masih tinggal sebumbung dan kekal berhubung dengan isterinya.

“Kami masih tinggal serumah, dan baru sahaja berhubung menerusi panggilan telefon dan pesanan WhatsApp.

“Tak ada masalah besar pun. Biasalah pasangan berkahwin, perselisihan faham itu sering berlaku,” kongsinya.

Sementara itu, Farid mengulangi ketegasannya untuk tidak menceraikan Diana meskipun menerima desakan daripada isterinya itu.

“Sudah empat kali saya ulang berkenaan pendirian saya tentang perkara ini. Tak perlu saya ulang lagi.

“Masalah perkahwinan saya sama sahaja dengan orang lain, cuma bezanya mereka tidak ditemubual sebegini.

“Alhamdulilliah saya terima baik (apa yang berlaku) dan saya sayang isteri serta anak-anak saya. Buat masa ini, saya hanya mahu berikan tumpuan kepada penggambaran filem Bisikan Dosa,” kongsinya.

Untuk rekod, Diana dan Farid pernah bercerai talak satu pada 10 Ogos tahun lalu namun kembali rujuk selepas sebulan berpisah.

Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada tahun 2012 dan dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Muhammad, 11, dan Nur Aurora, 9 tahun.





Source link

OR

Scroll to Top