SEBERANG PERAI – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang membongkarkan kegiatan peruncit warga asing menjual pelbagai barang kawalan tanpa permit sah menerusi Ops KITA GEMPUR di Taman Arowana, Seberang Jaya semalam.
Pengarahnya, S. Jegan berkata, warga asing terbabit didapati menjalankan urusniaga jualan tanpa lesen barang kawalan berjadual di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
“Berikutan itu, sejumlah barang kawalan berjadual seperti gula, minyak masak dan tepung gandum telah disita.
“Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 di mana pesalah boleh dikenakan denda maksimum RM1 juta atau penjara tidak lebih tiga tahun bagi individu dan denda maksimum RM2 juta bagi syarikat yang melakukan kesalahan pertama. Denda lebih tinggi dikenakan bagi kesalahan berulang,” katanya dalam kenyataan media di sini.
Operasi tersebut turut disertai Timbalan Menteri KPDN, Senator Fuziah Salleh.
Tambah beliau, operasi tersebut diteruskan ke sebuah syarikat pembungkusan minyak masak di Permatang Pauh untuk memantau aktiviti pembungkusan minyak masak paket satu kilogram.
“Kita mengajak pihak industri bekerjasama dan segera melaporkan kepada KPDN sekiranya jenama mereka berada di tempat yang tidak sepatutnya agar ketirisan barang kawalan berjadual tidak berlaku.
“KPDN Pulau Pinang akan sentiasa memantau dan menjalankan pemeriksaan selaras dengan inisiatif KITA GEMPUR yang merupakan langkah strategik kerajaan bagi menangani isu manipulasi dalam aktiviti perniagaan dan ketirisan yang melibatkan barang kawalan dan barang kawalan bersubsidi,” katanya.
Dalam perkembangan sama Jegan berkata, sejak pelancaran gerak kerja KITA GEMPUR pada 19 Oktober lalu, KPDN Pulau Pinang telah memeriksa 3,239 premis perniagaan di negeri ini .
Jelasnya, sebanyak 121 kes dengan jumlah rampasan RM100,919.80 dan kompaun bernilai RM18,600 diambil hasil daripada pemeriksaan tersebut.
“Selain itu, sebanyak 121 Notis Bertulis telah dikeluarkan kepada peniaga di pelbagai peringkat rantaian pengedaran untuk menyiasat dan mengenalpasti sekiranya berlaku aktiviti mencatut.
“KPDN berharap dengan langkah tegas ini, isu manipulasi dan ketirisan barang kawalan dapat dibanteras sepenuhnya bagi menjaga kepentingan pengguna,” katanya. – MalaysiaGazette
IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL