AMD Dream raih kemenangan berharga

AMD Dream raih kemenangan berharga


SKUAD AMD Dream kembali meraih kemenangan setelah menewaskan Hong Kong, China, 4-0 untuk membuka peluang meneruskan saingan dalam kategori bawah 13 tahun (B13) Kejohanan Bola Sepak Piala Supermokh 2024.

Sebelum ini, AMD Dream menang pada aksi pertama ke atas kelab dari Indonesia, Asiop Academy, namun terpaksa akur tewas pada perlawanan kedua kepada Zhejiang PFC dari China.

Bagaimanapun, kemenangan besar 4-0 ke atas Hong Kong, China memberikan petanda positif khusunya dari segi keyakinan menjelang perlawanan di peringkat seterusnya.

Bagi pengendali pasukan Mohd Armi Sharif, kemenangan ke atas pasukan Hong Kong tersebut membuktikan semangat juang barisan pemainnya yang tidak mudah berputus asa walaupun tewas pada perlawanan sebelumnya.

“Alhamdulillah, kemenangan berpihak kepada pasukan, pemain berjaya menterjemahkan segala perancangan, kemenangan bukanlah keutamaan bagi kami tetapi peningkatan prestasi pasukan.

“Kami adalah salah satu pasukan pembangunan, positifnya pemain dapat memperbaiki kelemahan-kelemahan pada perlawanan kedua khususnya daripada segi jaringan gol.

“Kalau kita lihat perlawanan pertama dan kedua, kami memiliki banyak peluang menjaringkan gol namun gagal diterjemahkan dengan jaringan. Alhamdulillah untuk aksi ketiga ini masalah tersebut berjaya diatasi,” katanya.

Pada aksi yang berlangsung di Padang B, Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, skuad AMD Dream berjaya mengatasi lawan dengan jaringan gol pada masa kecederaan babak pertama dihasilkan Nur Azam Muslim Nor Hisham.

Tuan rumah semakin selesa pada separuh masa kedua selepas Ahmad Muzakif Fitri Muhamad meledak dua gol pada minit ke 39 dan 50 sebelum Muhammad Hykal Iqwan Azlan menjaringkan gol keempat.

Sementara itu dalam satu lagi perlawanan dalam kumpulan yang sama, pasukan dari China, Zhejiang FC menamatkan saingan diperingkat kumpulan dengan meraih kemenangan ketiga berturut-turut menewaskan Asiop Academy, 1-0.

Ketua jurulatih Zhejiang FC, Guo Tianhao berkata, anak didiknya berdepan tentangan yang sengit dari lawan dan berjaya mengatasinya dengan disiplin yang tinggi.

“Diletakkan dalam kumpulan yang dibarisi pasukan-pasukan berkualiti memberikan aksi yang menarik pada saingan peringkat kumpulan ini.

“Kami dapat keputusan yang dimahukan dan sasaran seterusnya adalah ke pentas final,” ujarnya.



Source link

OR

Scroll to Top