mohdsyazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Skuad muda negara AMD future terpaksa berputih mata untuk mengakhiri saingan kategori Bawah 14 tahun (B-14) Piala Supermokh 2024 di tempat kelima apabila tumpas 4-6 kepada Evegrande, pagi tadi.
Walaupun tewas, pujian harus diberikan kepada barisan anak buah Azni Ariffin apabila tetap memberikan saingan sengit kepada lawan yang lebih berpengalaman.
Menurut Azni, perlawanan terbabit memberi pengajaran bermakna buat barisan pemain muda untuk mempertingkatkan lagi kualiti permainan untuk kejohanan akan datang.
Beliau berkata, barisan pemain muda berbakat ini mampu menyerlah pada masa akan datang jika terus diberikan pendedahan sewajarnya.
“Barisan pemain muda semakin matang dan tidak gentar berhadapan dengan lawan yang mempunyai fizikal lebih besar daripada mereka.
“Kejohanan Piala Supermokh ini mampu memperbaiki setiap kelemahan pasukan untuk tampil lebih meyakinkan pada masa akan datang.
“Walaupun tewas pada perlawanan terakhir ini, banyak perkara yang mereka boleh belajar untuk menjadi pemain profesional,” katanya.
Mengikut rekod, kejohanan Piala Supermokh 2024 sudah menghampiri kemuncaknya selepas mengharungi perlawanan sejak Khamis lalu.
Dikelolakan Majlis Sukan Negara (MSN) melalui Sekretariat Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP), Bahagian Bakat & Pembangunan Wanita ini merupakan edisi ke lapan penganjuran sejak ia bermula pada 2014 dengan tiga kategori dipertandingkan iaitu Bawah 12 Tahun, Bawah 13 Tahun dan Bawah 14 Tahun.
© New Straits Times Press (M) Bhd