Malam Citra Warna Kuala Perlis meriah, ketengah elemen seni dan budaya

Malam Citra Warna Kuala Perlis meriah, ketengah elemen seni dan budaya


KANGAR: Malam Citra Warna Kuala Perlis yang bersempena Festival Rakyat 3.0 di Dataran Lok 9, Kuala Perlis di sini berlangsung meriah dengan menghimpunkan elemen seni, budaya dan persembahan pelbagai kaum dalam satu pentas.

Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah berkata, program tersebut dilihat mampu menjadi pemacu kepada pertumbuhan dan merancakkan ekonomi setempat menerusi peningkatan perbelanjaan dalam sektor makanan, minuman, penginapan, kraftangan serta perkhidmatan pelancongan.

Katanya, program berkenaan juga merupakan acara signifikan dalam memperkukuh sektor pelancongan negeri yang kaya dengan elemen budaya dan keindahan flora fauna.

“Persembahan menggabungkan elemen tradisional dan moden bukan sahaja menyerlahkan keunikan warisan seni dan budaya negeri bahkan turut menjulang martabat seni tempatan ke tahap lebih tinggi,” katanya pada majlis perasmian Malam Citra Warna Kuala Perlis 2026, di sini malam tadi, dihadiri lebih 100,000 pengunjung.

Majlis berkenaan dirasmikan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan berangkat sama,
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail serta Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Festival anjuran kerajaan negeri bersempena sambutan ulang tahun keputeraan Raja Perlis Ke-83 itu turut mendapat sokongan dan kerjasama strategik daripada Five Petroleum Malaysia Sdn. Bhd, 99 Speed Mart Holding Berhad dan Aurelius Hospital Alor Setar.

Majlis perasmian berkenaan turut dimeriahkan pelbagai persembahan menarik seperti tarian kebudayaan pelbagai kaum serta persembahan nyanyian oleh Noraniza Idris dan ratu rock negara, Ella yang memukau pengunjung.

Selain itu, Malam Citra Warna yang dikelolakan oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) negeri itu turut diserikan dengan perarakan perahu diraja, choley, kereta berhias dan penduduk Kampung Warna-Warni.

Abu Bakar berkata, penganjuran berkenaan mendapat sambutan hebat yang dihadiri bukan sahaja masyarakat tempatan, malah turut melibatkan pengunjung dari negeri-negeri sekitar termasuk negara jiran Thailand.

Beliau berkata, berdasarkan trend sambutan penganjuran terdahulu, program tersebut dijangka mampu menghimpunkan lebih 200,000 pengunjung sepanjang tempoh tiga hari berlangsungnya acara itu.

“Festival Rakyat 3.0 bukan sahaja tertumpu kepada Malam Citra Warna Kuala Perlis malah turut diserikan dengan Sambutan Hari Belia Negara 2026 peringkat negeri.

“Selain itu, pelbagai acara menarik bertaraf antarabangsa turut dianjurkan antaranya Perlis International Open Fight Night 3.0, Kejohanan Tarik Tali Terbuka Kelab Antarabangsa dan Kebangsaan 2026, Kejohanan Gusti Lengan Jemputan Antarabangsa Perlis 2026 dan pelbagai lagi acara menarik lain,” katanya.-UTUSAN



Source link

OR

Scroll to Top