mohdsyazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Destinasi seterusnya buat pengendali Sabah FC Datuk Ong Kim Swee sama ada akan pulang ke ‘pangkuan’ skuad kebangsaan atau berkelana di luar negara masih lagi menjadi tanda tanya.
Hal ini kerana, ketika ditanya pada sidang media selepas tamat perlawanan pusingan 16 pasukan terbaik membabitkan Sabah FC menentang Putrajaya Athletic, jurulatih berusia 53 tahun mengambil pendekatan untuk tidak mendedahkan butiran mengenai destinasinya selepas ini.
Beliau berkata, keputusan untuk meninggalkan skuad Sang Badak bukanlah mudah namun demi mempertingkatkan kariernya sebagai jurulatih menyebabkan beliau mengambil keputusan meninggalkan pasukan itu.
“Saya ingin cabaran baharu kerana nak meninggalkan Sabah FC bukanlah perkara mudah. Saya inginkan cabaran baharu dalam usaha meningkatkan lagi karier sebagai jurulatih.
“Pada masa sama, saya mengharapkan jadi lebih baik selepas meninggalkan Sabah. Saya akan tentukan hala tuju dalam tempoh terdekat ini.
“Sememangnya ada tawaran bukan saja dalam negara juga permintaan dari luar negara. Saya akan maklumkan hala tuju saya selepas ini,” Katanya.
Sebelum ini, Arena Metro melaporkan sekurang-kurangnya empat individu ketika ini menjadi perbualan penyokong bola sepak tanah air dikatakan bakal menjadi antara yang mengisi jawatan dalam struktur baharu skuad Harimau Malaya yang akan diumumkan pertengahan bulan depan.
Walaupun tiada pengesahan atau bukti sahih mengenai perkara terbabit namun ketika ini empat individu itu membabitkan legenda bola sepak Australia Tim Cahill, Kim Swee, jurulatih Kedah Darul Aman (KDA) FC Nafuzi Zain dan bekas pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT) Benjamin Mora bakal berada dalam senarai terbabit.
Empat individu berkenaan yang cukup berpengalaman dalam merangka dan mengendali pasukan bola sepak menjadi sebutan ketika ini sekali gus menyaksikan struktur pentadbiran Harimau Malaya kelak lebih padu dan bersistematik.
Kim Swee yang juga bekas pengendali skuad bawah 23 tahun yang dikaitkan dengan Selangor FC sebelum ini, kemungkinan akan mengisi jawatan sebagai Pengarah Teknikal Harimau Malaya.
© New Straits Times Press (M) Bhd