Emma kembali dengan balada penuh emosi

Emma kembali dengan balada penuh emosi


puterialia@hmetro.com.my

Selepas sekian lama menyepi, bintang Akademi Fantasia 8 (AF8), Emma Suhaimi kembali dengan mempertaruhkan single terbaharu berjudul Tersakiti.

Lagu berkonsep balada ini mengangkat kisah luka, kekecewaan dan keberanian melepaskan hubungan toksik yang tidak lagi membawa kebahagiaan.

Menurut Emma, single terbitan Nova Music Malaysia itu bukan sekadar berkisar mengenai perpisahan semata-mata, sebaliknya membawa mesej lebih besar.

Katanya, lagu penuh emosi ini berkisar kepentingan mencintai diri sendiri dan berani melangkah keluar daripada hubungan yang memudaratkan.

“Mesej lagu ini sebenarnya sangat mudah. Kalau kita sudah tahu berada dalam hubungan yang toksik, segera tinggalkan sebelum kita menjadi lebih ‘Tersakiti’.

“Kadang-kadang kita terlalu lama bertahan kerana berharap keadaan akan berubah, sedangkan akhirnya hanya diri sendiri yang semakin terluka,” katanya dalam kenyataan, baru-baru ini.

Emma mengakui jalan cerita lagu itu sangat dekat dengan realiti masyarakat masa kini yang kerap memilih untuk memendam rasa demi mempertahankan ikatan yang sudah tawar.

Mengenai pemilihan komposer ternama dari Indonesia, Ilham Baso yang sebelum ini mencipta fenomena menerusi lagu hit Menjaga Jodoh Orang Lain nyanyian Ara Johari, Emma mendedahkan keserasian menjadi keutamaan mereka sepanjang proses pembikinan.

“Ilham komposer yang sangat fleksibel. Dia bukan sahaja menghasilkan lagu, tetapi memberi ruang kepada penyanyi turut berkarya ketika proses rakaman.

“Dia memahami karakter suara saya dan memberi kebebasan menyampaikan emosi mengikut cara sendiri.

“Bagi saya, kepercayaan seperti itu sangat penting untuk menghasilkan rakaman yang lebih jujur,” katanya yang turut bersyukur kerana keseluruhan kerjasama bersama Ilham berjalan lancar dan profesional.

Mengulas cabaran merakamkan Tersakiti, penyanyi itu mendedahkan kesukaran utama terletak pada usaha memastikan emosi benar-benar sampai kepada pendengar, bukan sekadar bergantung pada aspek teknikal vokal.

Malah, dia tidak menafikan pengalaman hidup yang dilaluinya membantu proses penghayatan lagu terbabit.

“Saya tidak mahu menipu. Saya sendiri pernah melalui pengalaman yang menyakitkan dan mungkin itu juga antara sebab saya memilih lagu ini.

“Kekecewaan yang saya lalui selama hampir 16 tahun membuatkan saya lebih memahami setiap bait lirik yang dinyanyikan.

“Namun, saya percaya kesedihan tidak semestinya diterjemahkan dengan tangisan. Kadang-kadang ketenangan juga mampu menyampaikan rasa yang jauh lebih mendalam,” katanya.

Menurut Emma, bait lirik ‘Kamu buat aku nyaman tapi tak bisa aku genggam’ adalah bahagian paling dekat di hatinya kerana membawa erti mendalam mengenai hakikat kehidupan.

“Lirik itu mengingatkan bahawa tidak semua yang membuat kita bahagia akhirnya akan menjadi milik kita. Ada masanya kita perlu belajar melepaskan sebelum rasa sakit itu menjadi lebih dalam,” katanya.

Dalam pada itu, Emma berharap Tersakiti mampu berfungsi sebagai teman kepada individu yang sedang melalui episod sukar dan menyimpan luka sendirian.

“Saya percaya lagu ini membawa kisah hidup ramai orang. Mungkin selama ini mereka tidak pernah bercerita tentang apa yang mereka lalui, jadi saya harap Tersakiti boleh menjadi suara kepada mereka.

“Kalau lagu ini mampu memberi kekuatan walaupun kepada seorang pendengar, itu sudah cukup bermakna buat saya,” katanya memaklumkan lagu ini memiliki susunan muzik dan melodi menyentuh jiwa serta lirik sarat makna.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top