Sanusi dakwa ada perancangan besar gagalkan pelaburan swasta di Kedah

Sanusi dakwa ada perancangan besar gagalkan pelaburan swasta di Kedah



am@hmetro.com.my

Alor Setar: Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mendakwa terdapat satu perancangan besar untuk menggagalkan pelaburan swasta di negeri Kedah.

Beliau mendakwa bahawa syarikat yang berhasrat melabur di Kedah akan diberi tekanan dan sekatan supaya mereka menarik diri daripada projek yang diumumkan.

Sebagai contoh katanya, keputusan Bin Zayed International Group of Companies (BZI) menarik diri daripada projek Langkasuka di Langkawi, bernilai RM40 bilion namun beliau tidak mendedahkan puncanya.

“Saya pun tahu syarikat-syarikat terbabit di Kedah ini akan dikenakan tekanan macam-macam sekatan dan kes yang saya sebut semalam (projek Langkasuka) saya tahu dia kena apa tapi saya tak mahu ulang dia kena apa.

“Mungkin tak sesuai saya sebut dalam dewan ini tapi ada grand design (perancangan besar) untuk menggagalkan banyak projek-projek yang diambil oleh inisiatif swasta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Teh Swee Leong (PH-Kota Darul Aman ) yang meminta penjelasan mengenai keputusan pelabur swasta untuk menarik diri daripada projek-projek yang diumumkan oleh kerajaan negeri termasuk projek Langkasuka pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Muhammad Sanusi turut menasihatkan Swee Leong agar tidak menjadi mata lalat dengan melihat perkara negatif sahaja.

“Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) sebelum ini umum (pelaburan) Tesla, tapi tak jadi…benda positif tak sebut kutip semua mata lalat, ini pun mata lalat juga,” katanya.

Semalam media melaporkan Muhammad Sanusi kesal dengan kenyataan pihak tertentu yang meletakkan kesalahan ke atasnya susulan keputusan BZI menarik diri daripada projek Langkasuka di Langkawi, bernilai RM40 bilion.

Beliau berkata, kerajaan negeri tidak mempunyai sebarang kaitan dengan keputusan itu kerana projek dirancang dibangunkan secara kerjasama antara syarikat swasta iaitu Widad Business Group Sdn Bhd.

Jelasnya, keputusan BZI menarik diri itu juga bukan sesuatu yang baharu kerana perkara berkenaan sudah diumumkan kepada Bursa Malaysia sebelum ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top