Selesa diberikan karakter yang bukan sinonim lagi

Selesa diberikan karakter yang bukan sinonim lagi


am@hmetro.com.my

PELAKON remaja Zarra Zhaf mengakui diri teruja apabila diberi peluang membawakan watak lebih matang menerusi filem Khadam selepas sering diberikan karakter kebudak-budakan dalam kebanyakan naskhah sebelum ini.

Zarra atau nama sebenarnya Ezarra Nurzhaffira Zahrul Hisyam, 14, berkata watak Putih yang dilakonkannya dalam filem seram itu menjadi antara cabaran terbesar sepanjang bergelar pelakon.

Menurutnya, menerusi filem yang sedang ditayangkan ini, dia membawa karakter seorang kakak sulung yang pendiam serta memikul tanggungjawab keluarga.

“Sebelum ini kebanyakan watak yang saya bawa adalah watak budak-budak. Bila saya dapat skrip Khadam, saya agak terkejut juga.

“Sebab watak Putih adalah seorang yang matang, pendiam dan juga kakak sulung yang perlu memikul tanggungjawab keluarga,” katanya ketika ditemui pada Sesi Tayangan Khas Media filem Khadam di GSC Mid Valley Megamall, baru-baru ini.

Menurut Zarra, meskipun watak berkenaan sukar untuk dijayakan, dia menyifatkannya sebagai pengalaman yang menyeronokkan kerana dapat mencuba sesuatu yang berbeza daripada kebiasaan.

Katanya, dia sememangnya mengimpikan peluang untuk membawa watak yang matang selepas sekian lama dikenali menerusi karakter kanak-kanak dan remaja.

“Memang susah untuk bawa watak Putih, tetapi pada masa sama sangat menyeronokkan sebab saya tak pernah pegang watak seperti itu sebelum ini.

“Saya memang suka watak-watak yang lebih matang. Sebelum ini selalu dapat watak budak-budak, jadi kali ini saya mahu cuba sesuatu yang berbeza,” katanya.

Dalam pada itu, Zarra turut menyifatkan pengalaman berlakon bersama Datuk Remy Ishak dan Siti Khadijah Halim sebagai peluang berharga kerana banyak mempelajari teknik lakonan daripada mereka.

“Bimbingan daripada pelakon berpengalaman banyak membantu meningkatkan keyakinan sepanjang penggambaran.

“Selain itu, pengalaman menjalani penggambaran di kawasan kampung dan hutan turut memberikan pengalaman baharu kerana sebelum ini banyak terlibat dengan naskhah berlatarbelakangkan suasana bandar.

“Saya rasa seronok sebab dapat cuba benda baharu dan berlakon di lokasi yang berbeza daripada kebiasaan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top