Harian Metro cipta hatrik

Harian Metro cipta hatrik


Petaling Jaya: Pasukan Harian Metro (HM) @ Media Prima melakar ‘hatrik’ kejohanan boling antara media dalam tempoh dua minggu selepas muncul juara pada pertandingan Malaysian Media Open 2024 anjuran Takaful Malaysia di Wangsa Bowl, Bandar Utama, di sini, baru-baru ini.

Harian Metro @ Media Prima diwakili Pengarang Berita HM, Mohd Jamilul Anbia Md Denin, wartawan, Asrizal Aris, Hazwan Alias dan Ahmad Fadilah Abd Aziz berjaya mengumpul 1,986 jatuhan pin dinobatkan sebagai johan kategori berkumpulan.

Sementara naib juara berkumpulan berjaya dirangkul pasukan Bernama yang memungut 1,818 jatuhan pin manakala pasukan New Straits Times (NST) menduduki di tempat ketiga dengan 1,745 jatuhan pin.

Pasukan HM @ Media Prima yang muncul juara dalam pertandingan tiga pusingan itu membawa pulang wang tunai berjumlah RM1,500 dan trofi serta piala pusingan.

Sementara naib juara pasukan Bernama menerima hadiah wang tunai RM1,000 manakala NST membawa pulang RM800.

Lebih manis, apabila pasukan HM @ Media Prima berjaya mendominasi tiga hadiah kategori jatuhan pin tertinggi individu menerusi pemenang pertama Mohd Jamilul Anbia yang membawa pulang hadiah wang tunai RM500, Hazwan di tempat kedua (RM300) dan Asrizal ketiga (RM200).

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Pemasaran Kumpulan, Takaful Malaysia Siti Hajar Rizlan.

Pada penganjuran pertandingan boling kali ini, seramai 80 peserta mewakili 20 pasukan mewakili pelbagai agensi media dan organisasi.

Kejohanan yang dirasmikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Takaful Malaysia Nor Azman Zainal itu diadakan bagi menghargai peranan signifikan disumbangkan oleh rakan media dalam meningkatkan kesedaran umum mengenai usaha dan inisiatif oleh Takaful Malaysia.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top