Pemilihan Exco kali ini lebih baik, kukuhkan perpaduan – Hashim

Pemilihan Exco kali ini lebih baik, kukuhkan perpaduan – Hashim


KANGAR: Rombakan barisan Exco kerajaan negeri kali ini adalah lebih baik bagi mengukuhkan perpaduan di dalam gabungan Perikatan Nasional (PN) di Perlis.

Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata, rombakan berkenaan juga adalah merupakan satu proses dan perkara biasa dalam sesebuah pentadbiran.

“Kalau kita melihat dari sudut senioriti seseorang itu, saya rasa dengan pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guar Sanji, Mohd Ridzuan Hashim dan tanpa kita kurangkan seorang pun Exco dari Pas, maka ia adalah sesuatu yang baik.

“Dulu Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perlis, Abu Bakar Hamzah juga ditinggalkan dan tidak dimasukkan dalam barisan Exco namun kali ini dipilih.

“Jadi kali ini bila kita meletakkan balik sesuatu itu pada tempatnya, maka saya rasa pentadbiran negeri akan bertambah baik,” katanya ketika ditemui di Kompleks Pas Perlis, di sini, hari ini.

Isnin lalu, Utusan Malaysia melaporkan mengenai rombakan barisan Exco kerajaan negeri di mana dua wakil dari Bersatu digugurkan dengan dilantik tiga muka baharu.

Mereka yang digugurkan itu adalah ADUN Pauh, Megat Hashirat Hassan dan ADUN Tambun Tulang, Wan Zikri Afhtar Ishak yang masing-masing sebelum ini memegang portfolio Kesihatan dan Pembangunan Belia dan Kemajuan Sukan negeri.

Tiga wakil rakyat baharu yang dilantik itu pula adalah Abu Bakar, ADUN Sena, Datin Marzita Mansor dan Mohd Ridzuan.

Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli sebelum ini turut memberi jaminan barisan Exco kerajaan negeri termasuk yang baharu dilantik akan dikekalkan sehingga berakhirnya penggal pentadbiran kerajaan PN di Perlis.

Dalam pada itu, mengulas perkara sama, Hashim berkata, pihaknya juga tiada sebarang halangan sekiranya kepimpinan barisan Exco kerajaan negeri baharu itu diteruskan sehingga berakhirnya penggal kelak.

“Rombakan itu adalah atas dasar menghadapi keadaan akan datang tapi saya kira tak ada masalah sekiranya lantikan Exco baru ini diteruskan sahaja,” katanya.-UTUSAN





Source link

OR

Scroll to Top