Young Tigers empat terbaik Asia

Young Tigers empat terbaik Asia


Young Tigers mengakhiri kempen Piala Remaja Asia dalam kelompok empat terbaik seterusnya layak ke Pusingan Akhir Piala Dunia Remaja 2025. Foto: Asia Hockey Federation

SKUAD hoki remaja negara mengakhiri cabaran Piala Remaja Asia 2024 dengan status empat terbaik selepas tewas 1-2 kepada Jepun dalam perlawanan penentuan ketiga keempat di Stadium Oman Al Marat pada Rabu.

The Young Tigers kendalian I Vikneswaran yang tampil dengan misi menebus kekecewaan tewas 1-3 kepada India di separuh akhir sebelum ini bermula garang.

Namun skuad Samurai asuhan Yoshihiro Anai terlebih dulu mengejutkan Young Tigers dengan dua jaringan awal yang diledakan menerusi dua gol padang Tanaka Tsubasa (m-7) dan Fujiwara Yuma (m-9).

Gol itu ternyata menyentap skuad muda negara yang kemudian memperkemaskan semula serangan sebelum gol pukulan sudut penalti Mohammad Harris Iskandar Osman minit ke-23 mengurangkan defisit separuh masa pertama.

Separuh masa kedua, Young Tigers meningkatkan tekanan ke atas skuad Samurai tersebut apabila menguasai rentak permainan, namun ketumpulan penyudah menyaksikan anak buah Anai keluar sebagai pemenang.

Young Tigers membuka gelanggang Kumpulan B dengan menewaskan China (5-2) diikuti Oman (9-1), namun diikat Bangladesh 2-2 sebelum melabuhkan cabaran dengan tunduk 1-4 kepada Pakistan.

Keputusan itu menyaksikan pasukan negara mengakhiri cabaran di kedudukan kedua Kumpulan B di belakang juara Pakistan sekaligus mengesahkan slot ke Pusingan Akhir Piala Dunia Remaja 2025 di India.

Edisi 2023 berlangsung di Salalah, Oman, Young Tigers yang dibimbing Muhamad Amin Rahim mengakhiri kedudukan di tempat keempat selepas tunduk 1-2 kepada Korea Selatan dalam perlawanan penentuan ketiga keempat di Selatan di Kompleks Sukan Salalah.



Source link

OR

Scroll to Top