am@hmetro.com.my
Ipoh: Pakar perubatan forensik memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, bahawa Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie tidak mati serta-merta selepas perlanggaran kenderaan pada 15 Disember tahun lalu.
Saksi pendakwaan ke-24, Dr Ain Nurfarahana Hamdan, 35, berkata beliau bersetuju dengan peguam bela, M Athimulan yang mencadangkan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati itu mengalami trauma death (kematian trauma).
Saksi itu juga bersetuju dengan cadangan peguam itu bahawa mangsa meninggal dunia kira-kira 30 minit selepas perlanggaran itu.
Athimulan: Setuju dengan saya trauma death boleh dicegah dengan menyediakan fasiliti dan akses rawatan yang betul, cepat serta efektif kepada orang yang cedera?
Dr Ain Nurfarahana: Secara am saya setuju
Athimulan: Adakah kes ini trauma death?
Dr Ain Nurfarahana: Ya
Saksi pakar itu berkata demikian di hadapan Hakim Datuk Bhupindar Singh Gucharan Singh Preet ketika pemeriksaan balas pada hari ke-13 prosiding perbicaraan kes seorang pegawai kanan polis didakwa membunuh Muhammad Zaharif Affendi.
Sementara itu, ditanya seorang lagi peguam, Datuk Mior Faridalathrash Wahid tentang kehadiran pegawai penyiasat semasa proses bedah siasat, Dr Ain Nurfarahana menjawab tidak pasti.
Saksi itu juga bersetuju dengan Mior Faridalathrash yang mencadangkan pegawai penyiasat perlu hadir semasa pemeriksaan bedah siasat untuk diterangkan kecederaan dialami mangsa.
Selain itu, saksi pakar itu mengesahkan jurufoto polis tidak berada bersama beliau sepanjang proses bedah siasat dilakukan di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun, di sini bermula 3 petang hingga 4.45 petang, 15 Disember tahun lalu.
Mengikut pertuduhan, Deputi Superintendan Mohd Nazri Abdul Razak, 45, didakwa membunuh Muhammad Zaharif Affendi, 17, di Jalan Taman Jati 1 berhampiran SMK Jati antara jam 11.45 pagi hingga 12.32 tengah hari, 15 Disember 2023.
Pegawai kanan polis itu dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Prosiding perbicaraan bersambung sebelah petang.
© New Straits Times Press (M) Bhd