Piala ASEAN: Thailand intai kejuaraan kelapan

Piala ASEAN: Thailand intai kejuaraan kelapan


PETALING JAYA: Juara bertahan Thailand memulakan misi mempertahankan kejuaraan Piala Mitsubhisi Electric ASEAN 2024 apabila berkunjung ke Vietnam untuk perhitungan dengan Timor-Leste bagi saingan Kumpulan A pada Ahad ini.

Thailand tampil dengan misi melebarkan rekod kejuaraan selepas merangkul tujuh kejuaraan pada tahun 1996, 2000, 2002, 2014,2016, 2020 dan 2022 dan bakal berdepan dengan Malaysia, Singapura dan Kemboja dalam saingan peringkat kumpulan.

Bekas jurulatih Kashima Antlers, Masatada Ishii, akan merencana nasib Thailand ke kejohanan ini buat kali pertama sejak menggantikan jurulatih kelahiran Brazil Mano Polking yang membawa negara itu merangkul kejuaraan pada tahun 2022 hasil kemenangan ke atas Vietnam pada perlawanan akhir.

Ishii telah memilih barisan terbaik yang diketuai oleh pemain tengah Consadole Sapporo, Supachok Sarachat dan adiknya, penyerang Buriram United FC, Suphanat Muenata serta pemain pertahanan veteran, Pansa Hemviboon.

Tujuh daripada 26 pemain yang terpilih adalah daripada skuad juara dua tahun lalu, manakala 15 pemain lagi berbekalkan kurang daripada 10 penampilan, menggambarkan cerminan masa depan pasukan itu.

Sementara itu, Malaysia akan memulakan cabaran di Phnom Penh menentang Kemboja, dengan jurulatih Pau Marti Vicente cuba membawa Harimau Malaya menjulang kejuaraan buat kali pertama sejak edisi 2010.

Singapura yang mendapat ‘bye’ pusingan pembukaan akan melayan Kemboja pada 11 Disember ini
dengan harapan meraih kejuaraan pertama sejak 2012.

Tsutomo Ogura dari Jepun menggantikan rakan senegaranya Takayuki Nishigaya sebagai ketua
jurulatih Lions awal tahun ini dan akan cuba membawa Singapura ke pusingan kalah mati selepas terlepas aksi ke separuh akhirpada 2022.

Perlawanan dalam Kumpulan A Piala Mitsubishi Electric ASEAN 2024 berlangsung sehingga 21
Disember, dengan dua pasukan teratas setiap kumpulan mara ke separuh akhir yang akan
dimainkan dalam dua perlawanan secara timbal balik.

Pusingan pertama separuh akhir akan berlangsung pada 26 dan 27 Disember dengan pertembungan
timbal balik pada 29 dan 30 Disember. Final juga akan dimainkan secara timbal balik pada 2 dan 5 Januari 2025.-UTUSAN





Source link

OR

Scroll to Top