Paraguay curi perhatian dunia

Paraguay curi perhatian dunia


Philadelphia: Perjalanan luar biasa Paraguay pada Piala Dunia 2026 berakhir di tangan Perancis pada pusingan 16 terbaik, namun skuad Amerika Selatan itu meninggalkan kejohanan dengan reputasi lebih gah selepas mempamerkan semangat juang tinggi sepanjang kempen.

Kekalahan tipis kepada Perancis menamatkan impian Paraguay, tetapi pasukan yang kembali beraksi di pentas Piala Dunia buat kali pertama sejak 2010 itu berjaya membuktikan mereka mampu memberi saingan kepada pasukan gergasi.

Paraguay mara ke pusingan kalah mati sebagai antara pasukan di tangga ketiga terbaik sebelum mencipta kejutan terbesar kejohanan apabila menyingkirkan Jerman menerusi penentuan sepakan penalti.

Kejayaan itu dibina menerusi corak permainan yang berdisiplin dengan benteng pertahanan yang sukar ditembusi serta aksi cemerlang penjaga gol Orlando Gill.

Sepanjang kejohanan, Paraguay tidak terlalu menguasai bola, sebaliknya memilih pendekatan bertahan secara tersusun dan menunggu peluang melakukan serangan balas.

Taktik sama digunakan ketika menentang Perancis apabila mereka berjaya menyekat gerakan lawan selama lebih sejam meskipun Perancis menguasai lebih 75 peratus penguasaan bola.

Bagaimanapun, impian Paraguay berkecai apabila Kylian Mbappe menyempurnakan sepakan penalti yang diberikan selepas semakan Video Bantuan Pengadil (VAR), sekali gus menghadiahkan kemenangan kepada Perancis.

Aksi Paraguay turut mencetuskan kontroversi apabila mereka menggunakan pendekatan fizikal untuk mengganggu rentak lawan, namun pengadil dari Uzbekistan, Ilgiz Tantashev tidak melayangkan sebarang kad kuning kepada pemain Paraguay walaupun tiga pemain Perancis dilayangkan kad.

Jurulatih Perancis, Didier Deschamps mempersoalkan keputusan pengadil itu, manakala bek Paraguay, Gustavo Velazquez turut dikecam selepas dirakam menguis kawasan titik penalti sebelum Mbappe mengambil sepakan penalti.

Walaupun langkah mereka terhenti di pusingan 16 terbaik, jurulatih Paraguay, Gustavo Alfaro tetap berbangga dengan pencapaian anak buahnya sambil menegaskan pasukan itu membuktikan mereka mampu bersaing di pentas tertinggi selepas 16 tahun menanti untuk kembali ke Piala Dunia.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top