PM mahu industri seni lebih terbuka, kekal relevan

PM mahu industri seni lebih terbuka, kekal relevan


Petaling Jaya: Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu ruang lebih bebas dan terbuka diberikan kepada penggiat seni, terutama pembikin filem bagi memastikan industri berkenaan kekal relevan.

Perdana Menteri bagaimanapun menegaskan ruang berkenaan perlu disesuaikan dengan nilai, budaya dan akhlak, selain tidak terikut-ikut dengan acuan negara luar.

“Saya tak mahu menggambarkan diri saya terlalu liberal kerana akan dikecam golongan ultra konservatif tetapi kalau mahu negara ini maju, tentunya harus terima kenyataan anak muda dan khalayak menginginkan suasana lebih bebas dan terbuka.

“Namun, ini tak bermakna perlu ikut acuan Barat dan acuan timur pula tidak semestinya mesti ikut aliran neokonservatif. Aliran timur harus kekal dengan nilai, budaya dan akhlak tetapi perlu terbuka.

“Kalau agak terlalu tertekan dan tertutup, saya bimbang industri seni terutama filem tidak akan berkembang,” katanya ketika merasmikan Menara Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) di Damansara Damai di sini, hari ini.

Hadir sama Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil dan Timbalannya Teo Nie Ching serta Pengerusi FINAS Datuk Dr Hans Isaac.

Perdana Menteri turut mengutarakan kebimbangannya terhadap sikap kebanyakan golongan muda, dikatakan lebih cenderung untuk menggemari dan mengutamakan filem antarabangsa berbanding karya lokal.

Mengambil contoh cucunya, Anwar berkata, golongan muda kini dilihat terpisah dengan era kegemilangan filem tanah air dihasilkan pelbagai nama besar industri perfileman, termasuk Allahyarham Tan Sri P Ramlee.

Justeru, beliau menggesa supaya pendedahan mengenai karya lokal diberikan kepada golongan muda bagi melonjakkan industri tempatan, seiring perkembangan dan kejayaan ditempa di persada antarabangsa.

“Saya sehingga perlu merayu cucu sendiri untuk menonton filem Pendekar Bujang Lapok, arahan P Ramlee dan diterbitkan pada 1959, kerana saya masih ‘terperangkap’ dengan zaman kegemilangan Jalan Ampas dan sebagainya.

“Bagaimanapun, saya terkesima dengan reaksi cucu selepas mereka selesai menonton filem ini. Mereka nyatakan ia adalah filem komedi terbaik yang pernah ditonton dan tiada berlebih-lebihan,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar menggesa FINAS memainkan peranan lebih berani untuk merapatkan jurang antara generasi muda dengan filem Melayu, termasuk karya klasik yang semakin kurang dikenali golongan berkenaan.

Beliau berkata, perhatian perlu diberi kerana filem bukan sekadar hiburan, sebaliknya sebahagian daripada warisan budaya dan identiti negara, sekali gus memastikan generasi muda tidak terus terpisah daripada budaya dan identiti negara.

“Pengalaman cucu saya ketika menonton Pendekar Bujang Lapok membuktikan generasi muda mungkin tidak menolak filem Melayu, sebaliknya tidak diberi pendedahan secukupnya kepada karya dengan nilai sejarah dan budaya.

“Perkara ini penting kerana generasi baharu kini terdedah kepada kandungan antarabangsa melalui pelbagai platform, sekali gus menjadikan usaha menarik mereka kepada karya tempatan lebih mencabar,” katanya yang juga Menteri Kewangan.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top