Pengarah SPRM negeri terajui Jawatankuasa Integriti PAFA

Pengarah SPRM negeri terajui Jawatankuasa Integriti PAFA


Mohd Azhar (dua dari kiri) menyampaikan cenderahati kepada Sivasundaram sempena Kongres Tahunan PAFA kali ke-63, 2024 di sebuah hotel di Ipoh pada Ahad.

PERSATUAN Bola Sepak Perak (PAFA) melantik Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) negeri, Datuk Ahmad Sabri Mohamed sebagai Pengerusi Jawatankuasa Integriti persatuan berkenaan.

Presiden PAFA, Datuk Mohd Azhar Jamaluddin berkata, langkah itu diambil sebagai menyahut saranan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk mewujudkan jawatankuasa integriti di peringkat persatuan-persatuan negeri.

Menurutnya, lantikan tersebut dibuat bagi memastikan tadbir urus dan tatakelola persatuan dapat dilaksanakan dengan sebaik mungkin.

“Kita menjadi persatuan terawal yang membuat kunjungan ke atas Pejabat SPRM negeri dan ia disusuli dengan pelantikan Pengarah SPRM sebagai pengerusi Jawatankuasa Integriti PAFA sekali gus menjadi Exco PAFA.

“Dengan adanya jawatankuasa integriti yang diketuai badan luar, mereka akan memberi nasihat kepada kita tentang apa yang boleh dan tidak boleh selain memantau pengurusan kewangan serta tadbir urus persatuan,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas Kongres Tahunan Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) kali ke-63, 2024 di sebuah hotel di Ipoh pada Ahad.

Hadir menyempurnakan perasmian kongres tersebut, Timbalan Presiden FAM, Datuk S Sivasundaram.

Mohd Azhar berkata, lantikan tersebut dibuat pada bulan lalu dan dengan adanya jawatankuasa integriti tersebut, PAFA dapat menyusun perancangan dan pengurusan kewangan dengan baik.

Menurutnya, tumpuan PAFA ketika ini adalah untuk mengembalikan semula kegemilangan bola sepak Perak seperti mana sebelum ini.

Jelasnya, dalam menanggung beban kewangan yang amat mencabar, PAFA akan meneruskan tanggungjawab di peringkat akar umbi untuk melahirkan bakat-bakat baharu bola sepak di negeri ini.

Beliau berkata, beberapa perancangan juga sudah diatur dan dilaksana membabitkan program dan aktiviti di peringkat bawah.



Source link

OR

Scroll to Top