Hendak panggil balik saya sertai UMNO susah sikit – Zahidi

Hendak panggil balik saya sertai UMNO susah sikit – Zahidi



am@hmetro.com.my

Padang Besar: Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Zahidi Zainul Abidin menolak segala kemungkinan untuk kembali ke pangkuan UMNO sebaliknya lebih memilih untuk terus berjuang dalam politik bersama wadah baru iaitu PKR.

Ini selepas MKT UMNO menarik balik penggantungan keahlian bekas Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkuat kuasa serta-merta yang membawa kepada kemasukan semula Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak itu yang sebelum itu digantung keahliannya selama enam tahun pada Oktober 2022.

“Hendak panggil balik saya (sertai UMNO) susah sikit dan untuk apa kerana saya tidak mahu ketua bahagian dan timbalan ketua bahagian (UMNO) yang ada fikir apabila saya sertai UMNO semula menyebabkan mereka terpaksa berundur kembali daripada jawatan mereka disebabkan kemunculan saya.

“Ini hanya akan menyebabkan perpecahan lagi dalam UMNO jadi saya rasakan tidak perlu untuk saya sertai semula UMNO dan adalah lebih baik saya bersama PKR kerana ramai pujuk dan alu-alukan saya untuk sertai parti ini,” katanya selepas menghadiri Program Sumbangan Prihatin MADANI dan Pelancaran PKR Ranting Baharu Bahagian Padang Besar di pejabatnya di Taman Beseri, Beseri, di sini hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Politik Kanan Pejabat Presiden PKR, Datuk Romli Ishak.

Katanya, walaupun beliau kini sudah pun berada dalam PKR, hubungannya bersama dengan bekas Pengerusi Perhubungan UMNO Perlis dan Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim masih baik walaupun Shahidan kini berada dalam saf kepimpinan PAS sebagai Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat.

“Hubungan saya dengan Shahidan tetap baik tetapi hubungan saya dengan ramai Ketua UMNO Cawangan juga baik jadi saya memilih persahabatan saya dengan mereka ini (Ketua UMNO Cawangan) kerana mereka yang banyak membantu menaikkan saya ketika saya berada dalam UMNO dahulu jadi tidak sepatutnya apabila saya sudah tiada lagi dalam UMNO kemudian saya lawan pula UMNO balik,” katanya.

Beliau berkata, komitmennya bersama PKR kini adalah untuk membantu Perlis dalam pembangunan ekonomi negeri.

“Ini adalah langkah permulaan saya bersama PKR dan kita akan terus bergerak dalam memastikan wadah kerajaan perpaduan dapat diteruskan selepas ini,” katanya.

Zahidi dipecat kerana tindakannya bertanding atas tiket Bebas pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi Parlimen Padang Besar dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Titi Tinggi selepas namanya digugurkan daripada senarai calon Barisan Nasional dalam PRU berkenaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top