Juara lempar cakera Olimpik antara 14 calon sertai NFL

Juara lempar cakera Olimpik antara 14 calon sertai NFL


New York: Juara bertahan Olimpik bagi acara melempar cakera, Roje Stona dari Jamaica antara 14 atlet antarabangsa dicalonkan bagi kelas ‘Laluan Pemain Antarabangsa NFL 2025’ dengan harapan memulakan karier dalam bola sepak Amerika.

Atlet Jamaica berusia 25 tahun itu yang mencipta catatan peribadi terbaik dan rekod Olimpik iaitu 70 meter untuk memenangi pingat emas di temasya Paris 2024, dijemput ke kem mini Mei lalu oleh Green Bay Packers dan New Orleans Saints selepas tidak bermain bola sepak Amerika di kolej.

Program pemain NFL global yang bermula pada 2017, memberi peluang kepada atlet di luar Amerika Syarikat (AS) untuk berlatih di tahap tertinggi dengan harapan dapat memulakan karier mereka.

Awal bulan ini, bintang kesatuan ragbi dari Australia, Jordan Petaia, 24, diumumkan antara atlet berada dalam kumpulan itu dengan harapan untuk beralih ke NFL.

Turut serta pemain ragbi Ireland yang juga pemain sayap Ulster, Aaron Sexton; serta pemain ragbi Zimbabwe, T J Maguranyanga yang mewakili kelab Perancis, ASM Clermont Auvergne.

Pemilihan atlet berkenaan akan bermula menerusi program latihan selama 10 minggu di dalam dan luar padang di IMG Academy di Bradenton, Florida sebelum mempamerkan kemahiran mereka pada Mac dan kemudian pasukan NFL akan membuat penilaian serta pilihan.

Jika layak, pemain akan ditandatangani sebagai ejen bebas atau berada dalam Draf NFL 2025 dengan setiap pasukan diberikan pengecualian bagi seorang pemain antarabangsa ketika latihan pramusim sebelum pemain boleh ditandatangani bersama slot pasukan latihan.

Beberapa pemain sebelum ini dipilih daripada beberapa sukan seperti ragbi, olahraga, bola keranjang dan bola sepak Gaelic.

“Kelas bagi 2025 sangat menarik dan kami gembira menyambut kehadiran atlet berbakat dari seluruh dunia,.” kata Naib Presiden Antarabangsa Eksekutif NFL, Peter O’Reilly.

“Fokus kepada usaha pembangunan bola sepak global dan memupuk bakat antarabangsa cukup penting untuk mengembangkan sukan kami di seluruh dunia.”

Sejak program itu bermula, seramai 41 atlet antarabangsa sudah menjadi pemain di kelab NFL dan ketika ini, 23 orang masih beraksi.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top