“SAYA selalu pesan kepada pemain, sekiranya mahu bermain di gelanggang skuad senior Selangor FC, Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, inilah masanya.”
Itu cabaran dilontarkan pengendali skuad Bawah 15 (B-15) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jalan Tiga, Muhammad Amir Mua’ainue Deen kepada anak buahnya apabila menyingkap cabaran Piala Datuk Mokhtar Dahari musim ini.
“Pentas Kejohanan Piala Datuk Mokhtar Dahari kali inilah peluang terbaik yang perlu direbut setiap pemain dengan menampilkan aksi sehabis baik untuk mara ke pentas perlawanan akhir.
“Ini juga merupakan peluang keemasan yang hadir sekali dalam hidup setiap pemain tambahan pula ini penampilan kali pertama pasukan SMK Jalan Tiga,” katanya.
SMK Jalan Tiga yang berpangkalan di Bandar Baru Bangi yang menggunakan kudrat anak-anak muda sekitar Bangi bagi Piala Datuk Mokhtar Dahari B-15 memulakan kempen dengan status naib juara Kumpulan A – seri dengan SMK Darul Ehsan (2-2), menang ke atas SMK Taman Dato’ Haron (2-1) dan tewas kepada SMK Shah Alam (0-2).
Pusingan 16 terbaik, SMK Jalan Tiga menang 5-0 ke atas SMK Tengku Ampuan Rahimah bagi menempah slot suku akhir.
Pentas suku akhir, SMK Jalan Tiga menjinakkan SAMT Sultan Sallahuddin Abd Aziz Shah 4-2 menerusi penentuan sepakan penalti setelah kedua-dua pasukan terikat 2-2.
Kemenangan itu menyaksikan SMK Jalan Tiga hanya selangkah ke perlawanan akhir apabila perlu berdepan SMK Tinggi Kajang dalam perlawanan separuh akhir di padang B Majlis Bandaraya Shah Alam.
Pertembungan SMK Jalan Tiga menentang SMK Tinggi Kajang juga bukan hanya sekadar perlawanan mengesahkan slot final edisi ke-10 kejuaraan tersebut.
Sebaliknya Muhammad Amir juga menyifatkan perlawanan itu mengimbau kembali aksi kedua-dua pasukan di pentas final Kejohanan Majlis Sukan Sekolah Sekolah Daerah (MSSSD) Hulu Langat yang dimenangi pasukan lawan.
Jelas Muhammad Amir lagi, beliau menjangkakan satu perlawanan yang sengit bakal ditampilkan kedua-dua pasukan tambahan pula ini kali pertama pasukan SMK Jalan Tiga bermain di kejohanan berkenaan.
“Pasukan SMK Jalan Tiga pernah berentap dengan SMK Tinggi Kajang di perlawanan akhir Kejohanan MSSSD Hulu Langat yang menyaksikan kami tewas.
“Jadi perlawanan separuh akhir Piala Datuk Mokhtar Dahari B-15 boleh diibaratkan pentas untuk pasukan SMK Jalan Tiga menebus semula kekalahan sebelum ini,” katanya.
Kejohanan pembangunan B-15 edisi 2024 dibarakan dengan penajaan daripada Kumpulan Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) manakala Sinar Harian sebagai media rasmi.
INFO
Piala Datuk Mokhtar Dahari (Bawah 15 Tahun)
SELASA (10 Disember)
SEPARUH AKHIR SATU
SMK Shah Alam lwn SMK Bukit Kapar
(Padang A Majlis Bandaraya Shah Alam, Seksyen 28, 3 petang)
SEPARUH AKHIR DUA
SMK Tinggi Kajang lwn SMK Jalan Tiga
(Padang B Majlis Bandaraya Shah Alam, Seksyen 28, 3 petang)