firdaushashim@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Sebuah pasukan gergasi dari Pantai Timur didakwa menghantar surat penarikan diri daripada menyertai saingan Liga Super musim depan.
Menurut sumber Arena Metro, tindakan pasukan yang pernah memenangi kejuaraan utama dalam Liga Malaysia (Liga M) itu sememangnya mengejutkan dan difahamkan surat itu sudah diserahkan kepada penganjur liga tempatan, Liga Bolasepak Malaysia (MFL).
“Dengarnya ada surat (penarikan diri) yang dah diserahkan kepada MFL. Apa yang dilakukan pasukan terbabit memang mengejutkan.
“Nampaknya liga kita makin bermasalah, lepas satu-satu mula nak tarik diri. Harap perkara ini dapat diselesaikan dengan baik dan jangan sampai tarik diri,” kata sumber itu.
Semalam, akhbar ini melaporkan terdapat sebuah pasukan gergasi Liga Super bakal menarik diri daripada saingan kompetitif pada musim depan.
Walaupun tiada sebarang kenyataan rasmi daripada pihak berkaitan, namun khabar angin itu kini mula menjadi bualan penyokong bola sepak tanah air yang terkejut mendengar berita itu.
Difahamkan, pasukan terbabit yang pernah menjulang Piala Malaysia dan bergelar juara Liga Super menghadapi masalah kewangan kronik sekali gus mempertimbangkan untuk tidak lagi bertanding.
Isu kewangan dan tunggakan gaji yang dihadapi pasukan sudah lama bersarang dalam kancah Liga M dan penyakit itu dilihat semakin parah musim ini apabila turut menyerang beberapa pasukan ternama sebelum ini membabitkan Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Kuala Lumpur City (KL City) FC.
Mengikut rekod, pada musim ini menyaksikan hanya 13 pasukan beraksi di Liga Super selepas beberapa pasukan dari Liga A1 tidak menepati syarat ditetapkan untuk menyertai saingan itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd