Malaysia bernasib baik atasi Timor Leste

Malaysia bernasib baik atasi Timor Leste



mohdsyazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Harimau Malaya hampir dimalukan Timor Leste apabila terpaksa bermandi peluh sebelum mencatatkan kemenangan tipis 3-2 pada aksi kedua kumpulan A Piala Asean 2024, sebentar tadi.

Perlawanan yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) itu menyaksikan skuad bimbingan Pau Marti Vicente diberikan tentangan sengit sebelum membawa pulang tiga mata penting.

Malah Harimau Malaya seharusnya mengucapkan terima kasih kepada Paulo Josue apabila menyelamatkan maruah dengan menjaringkan gol kemenangan ketika perlawanan berbaki lima minit sebelum tamat.

Aksi babak pertama menyaksikan Harimau Malaya yang dicanang mudah membaham Timor Leste namun sebaliknya berlaku apabila cukup sukar merobek gawang lawan.

Jentera serangan Harimau Malaya yang diketuai Josue, Darren Lok, Najmuddin Akmal Kamal Akmal dan Syafiq Ahmad juga dilihat tidak banyak melancarkan serangan berbahaya ke kubu lawan.

Namun, kemasukkan Fergus Tierney pada minit 30 mampu memberi impak kepada bahagian depan apabila lorongannya disambar Syafiq untuk gol pertama buat Harimau Malaya.

Kegembiraan 7,420 penyokong tidak berpanjangan apabila larian pantas Joao Pedro sukar dikejar dua pertahanan skuad Harimau Malaya sebelum melorong bola untuk Olagar Xavier menyumbat gol penyamaan sekali gus kedudukan 1-1.

Pedro yang diibarat ‘lipas kudung’ terus menjadi duri dalam daging apabila meletakkan Timor Leste di depan menerusi jaringan keduanya yang membuatkan penyokong di SNBJ seketika.

Bersambung babak kedua menyaksikan Vicente melakukan sekurang-kurangnya empat pertukaran pemain dengan memasukkan Haqimi Azim Rosli, Stuart Wilkin, Fazrul Amir Md Zaman dan Endrick Dos Santos.

Situasi terbabit ternyata memberi kelebihan kepada Harimau Malaya apabila menguasai hampir keseluruhan babak kedua.

Skuad Harimau Malaya akhirnya menyamakan kedudukan menerusi Josue hasil hantaran Endrick sebelum tonggak Kuala Lumpur City (KL City) FC menyumbat gol kemenangan pada minit 83.

Kedudukan 3-2 kekal hingga tamat perlawanan sekali gus menyaksikan Malaysia akhirnya memperoleh kemenangan selepas mencatatkan keputusan seri 1-1 bertemu Kemboja tempoh hari.

Malaysia akan berlepas ke Bangkok esok bagi mengharungi perlawanan cukup getir dengan bertemu Thailand pada Sabtu ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top