FAM menggantung keahlian Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) berkuat kuasa serta-merta.
PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) menggantung keahlian Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) berkuat kuasa serta-merta.
Badan induk itu dalam satu kenyataan berkata, keputusan dibuat selepas mendapati Kongres KAFA kali ke-65 dan Pemilihan Jawatankuasa Eksekutif KAFA Bagi Sesi 2024-2028 yang diadakan pada 19 Disember lalu tidak sah.
“Ia disebabkan terdapat ahli gabungan yang tidak dibenarkan hadir dan tidak dijemput ke kongres berkenaan, selain prosedur dan tatacara pengendalian Kongres KAFA tersebut tidak dibuat dengan teratur dan mengikut prosedur-prosedur yang betul.
“Sehubungan itu, FAM telah mengarahkan supaya KAFA mengadakan semula kongres dan pemilihan tersebut secepat mungkin,” kata kenyataan itu.
Menurut kenyataan tersebut, keputusan menggantung KAFA dibuat berdasarkan Artikel 17 Statut FAM iaitu Jawatankuasa Eksekutif FAM boleh menggantung keahlian mana-mana ahli.
“Jawatankuasa Eksekutif FAM secara majoriti menerusi keputusan secara bertulis telah bersetuju dengan cadangan tindakan yang telah dibentangkan untuk menggantung keahlian KAFA.
“Keputusan penggantungan ini telah dibuat berdasarkan surat FAM bertarikh 21 Disember kepada KAFA iaitu berkaitan keputusan mesyuarat Jawatankuasa Pertikaian Dalaman FAM berkenaan aduan terhadap tatacara pengendalian Kongres Tahunan KAFA Kali Ke-65 dan pemilihan Jawatankuasa Eksekutif KAFA bagi sesi 2024-2028,” katanya.
Sebelum ini, FAM dibawah Jawatankuasa Pertikaian Dalaman turut telah membuat keputusan menggantung Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) susulan isu tunggakan gaji dan pampasan bekas pengarah bola sepak pasukan itu, Matt Holland.